Mari fahami perkataan bahasa “Malaisia”

Perkataan “macai” dipendekkan dari “malai chai”. “chai” bererti budak, Dari segi maknanya adalah budak suruhan. Kepada sesetengah “orang Malaisia” taraf Melayu ni setakat budak suruhan saja. Secara manis dihadapan khalayak macai akan dipanggil sebagai “personal assistant” tetapi sebenarnya sekadar budak suruhan untuk hantar surat atau barang yang tidak boleh dipercayai dan tak ada masa depan.

Perkataan seterusnya, “Amad” bermakna pemandu peribadi atau budak suruhan peribadi. Ia berbeza dengan “macai” yang bersifat am. Amad lebih spesifik hanya menjadi budak suruhan dan pemandu kepada seorang “taukey”. Ia menjadi kebanggaan taukey kepada rakan-rakan lain jika memiliki “amad”, tambahan lagi jika “amad” itu kelihatan patuh dan takut kepada taukeynya. Kesetiaan tak perlu kerana taukey tak pernah akan percaya kepada “amad”nya.

Sempena Ramadhan, marilah kita tingkatkan martabat dan maruah agama dan bangsa. Selamat berpuasa.

Cepatlah belajar…

Cepatlah belajar, walaupun ramai telah pandai tetapi masih ramai juga yang belum, berusahalah. Kemuncak pendustaan, fitnah dan adu domba telah tiba. Sudahkah kita bersedia? Media alam maya dan media konvensional sama naik memalu gendang kemusnahan tanpa silu. Kita, kami dan anda semua kelak jadi mangsa kerakusan sebilangan kecil manusia gila kuasa dan harta, bagaikan tiada syurga neraka buat mereka. Berhati-hatilah kerana kemusnahan bukan kepalang dahsyatnya.

Fahamilah serba sedikit tentang perang sikologi kerana ia diiringi dengan perang saraf yang melibatkan kepura-puraan, kemunafikan, ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa, penganiayaan, ugutan dan segala bentuk kekejaman. Apa sudahnya kehidupan kita nanti.

Berhati-hatilah dengan setiap pemberitaan, buatlah semak silang, rajinlah mengkaji, singkaplah pengalaman dan sejarah. Gunalah alatan yang sama seperti yang digunakan oleh mereka, teknologi maklumat, dapatkan maklumat sebanyak mungkin dari pelbagai sumber, kerana setiap keputusan dan tindakan kita menyumbang samada kearah kemusnahan atau pemulihan. Jangan ditinggalkan Al-Quran, Hadis dan nasihat para ulama muktabar terdahulu.

Kita berhadapan dengan bencana yang diuli oleh tangan-tangan jijik dan kotor. Adakah kita diuji atau dihukum atas kealpaan kita selama ini? Kita masih dikasihani kerana berpeluang bertindak, lakukanlah dengan kejujuran dan keinsafan kerana kita tetap dihitung dan dipertanggungjawabkan atas setiap tindakan yang dibuat.

Akhir sekali gunalah akal yang waras dan sedikit keimanan yang ada dengan sebaik mungkin dan sesudah itu berdoa dan bertawakallah semoga kita semua dilindungi dan dipelihara Illahi.

Kita dan Mereka – coretan buat UMNO sebelum bersidang.

Dulu kitalah UMNO, tak kira berdaftar sebagai ahli atau tidak, cubit peha kiri peha kanan terasa juga. Ini yang dijiwai umat Melayu satu masa dahulu. Sekarang perasaan itu makin pudar. Ianya hampir tiada pada jiwa generasi muda Melayu.

Dulu, menghina UMNO bererti menghina Melayu, kita cukup terasa. Kita ikuti perhimpunan agungnya walaupun kita bukan ahli berdaftar. Sekarang orang Melayu hina UMNO.

Mereka akan bersidang lagi, PWTC akan bergegar, seolah-olah merekalah pembela Melayu, mereka yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi Islam, Melayu dan negara ini. Mereka akan berseloka, berpantun hinggalah ketahap  menjerit, menengking bak pahlawan Melayu dahulu kala, ada mengaku panglima bugis, ada mengaku pahlawan jawa, ada mengaku pendekar minang dan bermacam keperwiraan lagi.

AlWatan melihat fenomena ini berlaku sekarang. Pemimpin bahagian dan keatas sudah ber “kami” dengan ahli bawahan apatah lagi dengan yang bukan ahli. Kata mereka, bila “Kami” beritahu, “Kamu” mesti kena percaya. “Kami” akan perhatikan setiap gerak kamu. Mereka lupa yang mereka juga diperhatikan oleh “Kita”.

Kita telan cerita duit RM2.6B adalah derma, ya kami percaya. Kita juga tahu ada agihan kepada ketua-ketua bahagian. Lihatlah bagaimana ketua-ketua bahagian ini membelanjakan duit yang diagihkan. Ketua bahagian, set pol menteri, setiausaha sulit menteri bagai “raja-raja kecil” rasmi acara sana rasmi program sini, penuh bergaya. Apa pula manafaatnya kepada masyarakat Melayu? Adakah ia dapat menarik Melayu yang tidak menyokong kembali menyokong UMNO? Adakah dapat menarik Melayu atas pagar lompat kesebelah UMNO? Adakah dapat menarik Melayu yang menyokong parti-parti lain berubah menyokong UMNO? Adakah dapat memberi harapan kepada bukan Melayu untuk menerima UMNO menjadi pemimpin mereka? Pada pemerhatian AlWatan, jawapan kepada kesemua persoalan diatas adalah TIDAK.

Yang berlaku ialah beberapa kerat yang rapat dengan ketua bahagian berjoli sakan. Habuan diberi ikut siapa pengikut siapa. UMNO peringat bawahan berpecah belah. Natijahnya, kepimpinan peringkat cawangan yang terasa diri terpinggir mula bersuara. Maka berlakulah beberapa acara kenyataan akhbar. Bagi membendung segera keadaan ini, pengerusi JKKK dan JKKP dipanggil ke PWTC untuk dipujuk. Mereka ini kebanyakkannya adalah ketua-ketua kampung dan ketua-ketua cawangan. Lalu acara ikrar sokongan beramai-ramai dibuat dan ditayangkan seluruh Malaya. Selesaikah masalah?

Kami melihat UMNO nazak, kita tidak lagi bersama dan yang menyertai kami kian ramai, bertambah dari hari kehari.

Semoga kamu semua selamat bersidang di PAU yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

Jangan dipeduli kemana kami akan pergi…

Hari Raya, Suabali dan gajah mengamuk.

Hari Raya sudah selamat, hari ini hari ke7 bulan Syawal, Selamat Hari Raya, Salam 0-0, yang kosong adalah ucap selamat hari raya itu. Yang berisi adalah doa kepada sesama kita agar ibadah diterima dan hidup diberkati.

Dimana-mana kesempatan berhari raya digunakan untuk menganjurkan “RU” reunion. Apa perkataan melayu yang sesuai agaknya? “Suabali” untuk bersua kembali? Kita makin tribal, berpuak-puak. Mengunakan sentimen nostalgik kawan-kawan sepersekolahan atau sekampong, kita adakan “circle” dan “group” sendiri yang esklusif melalui facebook, WhatsApp dan sebagainya. Bila berkesempatan “suabali” dianjurkan.

Telah ada yang terbau peluang, terutama orang politik dan berniaga. Ini bentuk network baru, yang lebih boleh diharapkan, dipercayai, senang kira, boleh kawtim, sama-sama makan, tak tikam belakang.

AlWatan melihat ini sebagai satu ancaman, kita akan jadi “tribal fanatic” lalu ujud tribal heads dan warriors. Di masa orang lain bersatu untuk melemahkan dan memijak kepala kita, kita pula berpecah-pecah kepada puak-puak kecil yang saling berebut, mementingkan puak sendiri dan bertelagah.

Gajah mengamuk di jalanraya Grik. Ini berita tersebar dalam Whatsapp pada Raya ke-4. Kereta dirosakkan dan ada yang terbunuh. Entah kenapa, tiada berita ini  di saluran-saluran TV atau akhbar. Ramai yang “copy paste” dan “forward” berita itu. Mungkin atas rasa bertanggungjawab terhadap ahli “tribe” atau rasa bangga ada sumber maklumat yang lebih cepat dan tepat berbanding  ahli tribe yang lain hanya tuan tubuh yang tahu. Ada yang  catitkan “copy dari group lain” untuk cover malu jika berita itu palsu.

Harap-harap sempena Syawal tahun ini kita belajar lebih mengenali alam siber supaya tidak diperbodohkan dan lebih bodoh lagi apabila dilihat bodoh oleh kaum sama “tribe” dengan kita. Nak jadi tribal head kena pandai jaga kebodohan agar tidak terserlah dikhalayak tribe apatah lagi kepada tribal community yang lain. Salam Syawal 1436.

Pilihan Buat Melayu – Najib atau Hadi.

PM Najib sedang diduga dengan hebat, beliau sedang dibicarakan di mahkamah rakyat. Malangnya, dari sudut pandang AlWatan, beliau didapati bersalah dan berada dizon merah dengan kemungkinan disingkir hampir nyata. Kesilapan beliau semenjak mula memegang tampuk pemerintahan dibongkar dan kesilapan baru terus beliau lakukan. Walaupun begitu, dalam tempuh tersebut ada beberapa kebaikan yang telah beliau laksanakan, namun tetap gagal disebarluaskan untuk memberi sedikit ruang kepadanya bertahan. Kenapa ini berlaku? Rumusan AlWatan adalah PM Najib kurang daya memimpin dan lebih buruk lagi beliau gagal memilih pembantu-pembantu yang mampu membantu beliau memimpin. Ketidakmampuan PM Najib berganda.
DS Hadi pula dilihat menang bergaya. Dalam keadaan ditekan teruk oleh penentangnya, beliau menanganinya dengan cermat. Memenangi jawatan Presiden Pas dalam suasana pertandingan yang sengit dengan jumlah undi yang meyakinkan memberi imej seorang pemimpin wibawa. Walaupun beliau terlibat dengan cubaan pembentukan “kerajaan perpaduan” nampaknya ia bukanlah perkara yang merisaukan perwakilan PAS, ianya juga tidak dianggap satu kesalahan. Kelembutan ini memperlihat keterbukaan PAS. Permusuhan UMNO PAS bukanlah ditahap berpatah arang. Kelantangan DS Hadi menghentam DAP mencairkan hati ramai Melayu. Apabila kita ada “musuh” yang sama, kita seakan bersama. Pasca muktamar akan melihat talibarut DAP akan diketepikan. PAS dibersihkan dan muncul parti yang lebih segar.
Perkembangan terkini dua parti Melayu terbesar menarik direnungi. Melayu berparti ada dalam UMNO dan PAS. Dalam parti-parti lain tidaklah begitu signifikan. Melayu atas pagar juga ramai. Sampai PRU 14 nanti mereka akan mengundi. Untuk masa sekarang AlWatan melihat DS Hadi akan menjadi rebutan kedua-dua kumpulan dalam UMNO yang sedang bertelagah. Nampaknya PAS dan DS Hadi lebih condong ke kumpulan Tun M. Atas pemerhatian itu, kemungkinan penasihat DS Najib akan cuba menjalin hubungan dengan kumpulan anti ulamak dalam PAS, yang sebenarnya orang-orang Anwar. Ini boleh diperhatikan jika Anwar dan konco-konconya mula mendapat “keistimewaan”.
Jika komplot ini berlaku dan diketahui umum kita akan menghadapi PRU14 lebih awal. Bersedialah umat Melayu untuk memilih antara Najib atau Hadi.

Melayu jadi Rohingya.

Rompin selesai, Permatang Pauh pun sudah, tapi Najib vs Mahathir belum selesai malah bertampah panas…Ia panas yang membakar, memusnah dan kemusnahannya kian merebak,..kita tak berapa kisah jika UMNO yang musnah terbakar, biarkan, biarkan,..yang kita kisah negara kita turut hangus sama, berserta kerajaan-kerajaan Melayu yang bersekutu membetuk persekutuan Malaysia…yang ini tak boleh dibiarkan, kerana jika hancur kerajaan Melayu ini maka tidak lama selepas itu pupuslah bangsa Melayu. Bersama hilangnya Semenanjung Tanah Melayu maka hilanglah juga Islam, agama yang dianuti oleh bangsa Melayu,

Nasib Melayu sama seperti Rohignya.

Telah sampai masa Melayu lupakan UMNO, jika Melayu dapat dipisahkan dari UMNO maka kemusnahan dapat dibendung setakat UMNO sahaja, biarkanlah UMNO dengan pilihan mereka, walaupun mereka juga Melayu.

GST baik tetapi gagal dilaksana dengan baik, walaupun dengan sokongan segala macam konsultan dan Pemandu berserta jemaah kabinet yang paling besar dengan paling ramainya menteri di JPM, perlaksanaan tunggang langgang…IMDB juga serupa..

Yang menyemarak bakarnya perasaan orang Melayu apabila Tabung Haji terpalit sama. Lalu timbul macai-macai yang cuba membela dengan teori-teori perniagaan mereka untuk menghalalkan tidakan yang jelas tak kena pada masa dan keadaan. Baru terbongkar pada khalayak yang pemegang jawatan pengarah syarikat dan entiti berkaitan kerajaan terdiri dari orang-orang yang sama, Yang duduk dalam lembaga pengarah LTH duduk juga dalam lembaga atau penasihat 1MDB. Tak hairan LTH telah membuat keputusan sebegitun rupa…

Menyeret Tabung Haji kedalam permasalahan 1MDB adalah kesilapan paling besar dan mungkin terakhir buat Najib…berundurlah sebelum perkara lebih buruk berlaku. Petunjuk sudah ada, seorang sultan telah bersuara tentang GST, bagaimana pandangan sultan-sultan yang lain apabila mengetahui LTH diheret sama dalam kemelut 1MDB? bukankan rakyat boleh bertemu sultan mereka untuk mengadu tentang masalah yang membelenggu tambahan pula ia berkaitan dengan agama Islam? Bukankan sultan-sultan bersama didalam “Majlis raja-raja” dimana termaktub dalam perlembagaan bidang kuasa mereka? Polis diraja Malaysia, tentera diraja Malaysia,…nampak tak “worse case scenario”…

Jadi, buat Najib, cukuplah, Melayu dah tak peduli anda dilambung oleh pemuda ke, ketua bahagian ke atau timbalan ketua bahagian,..UMNO dan Melayu telah terpisah…jika masih nak pegang semangat Bugis yang pantang undur kebelakang, jangan lupa ramai juga Bugis lain yang menentang dan mereka juga pantang undur kebelakang.. tak termasuk lagi Jawa, Mendeleng, Rawa, Banjar, Minang, Aceh, Pattani,

Harapan kepada UMNO

Masih bolehkah berharap kepada UMNO? Harapan yang akan dinukil ini tidak mewakili orang Melayu, tiada tapak untuk menuntut begitu, ianya cuma harapan AlWatan untuk dilontarkan buat pertimbangan UMNO dan orang Melayu.

UMNO perlu besar jiwanya, mempertahankan hak dengan tegas tapi sopan, berisi dan pasti, bukan berdegar-degar tapi kosong. UMNO perlu bersama orang melayu, bukan berada di kelompok luar dan melihat kepada orang Melayu sebagai kumpulan tolol yang perlu dipimpin dan dibantu serta dalam masa sama diperguna, diperbodoh untuk kepentingan kelompok UMNO sendiri.

Orang Melayu melihat pemimpin UMNO sebagai pemimpin Melayu, tapi itu dulu, sekarang orang Melayu mencari-cari pemimpin sebenar, sementara belum ada, UMNO jadi sandaran, jika kesedaran di pihak kelompok UMNO masih tiada, tidak mustahil dalam masa terdekat Melayu memandang kearah lain untuk mencari pemimpin. Siapa UMNO tanpa Melayu?…

AlWatan melihat kedudukan Melayu amat genting di bumi sendiri. Fahaman-fahaman tidak menentu diasak masuk dalam pemikiran Melayu dengan label-label liberalism, kesederhanaan, wasatiah, 1Malaysia dan macam-macam. Di kala yang sama orang bukan Melayu memperkukuhkan semangat perkauman mereka tetapi melabelkannya menggunakan label-label yang UMNO/pemerintah sendiri ciptakan. Dengan “1Malaysia” mereka meminta hak sama rata dan mengenepikan hak Melayu walaupun termaktub dalam perlembagaan, dengan “wasatiah” mereka menuntut kelebihan kepada agama-agama mereka sampai menuntut untuk dibolehkan murtad serta hak mereka untuk mendakyahkan agama mereka kepada umat Islam. UMNO diam, terkedu, membisu. Tiada “Jantan” untuk berkata tidak kepada yang tidak dan ya kepada yang ya. Tiada “cerdik” dalam berbahas berhujah, sekadar ugutan kosong penuh dengan amaran berdegar-degar.

AlWatan ingin melihat ada UMNO yang berkata asal Malaysia terdiri daripada negeri-negeri Melayu di semenanjung dan dua negeri kepulauan borneo yang digabung menjadi persekutuan Malaysia. Negeri-negeri Melayu itu adalah negeri Islam berdaulat. Fahami istilah negara persekutuan.

AlWAtan ingin melihat UMNO yang tegak mempertahankan Islam yang benar, dari musuh kafir atau anasir dalaman yang melihat Islam dari sudut sempit yang melemahkan Islam. Mengembalikan ihsan dalam ketegasan, berdakwah dan memyampaikan bukan bersifat permusuhan dan menekan. Kita gagal memperlihatkan syhumul Islam kepada mereka yang kafir, menolak mereka lebih jauh bukan merapatkan mereka kepada Islam. Dalam kita mempertahankan azan dilaungkan, patutkah ceramah agama didalam masjid dikuatkan sama seperti laungan azan?…

AlWatan ingin mendengar UMNO berkata “kita” dan bukan “rakyat” atau “Melayu” atau “bumiputera” apabila berbicara tentang Melayu. UMNO yang berani mengangkat dan memartabatkan bahasa dan budaya Melayu tanpa malu dan takut. Bukan yang bertutur bahasa asing di buminya sendiri dan bermegah dengan pencemaran bahasa dan budayanya. Bukan mereka yang dengan suka tanpa rasa bersalah mencedok perkataan asing dalam ucapan rasmi apatah lagi membiarkan bahasa kebangsaan dipinggirkan dalam setiap cabang penyiaran.

AlWatan ingin melihat UMNO yang mendahulukan Melayu dari UMNO, yang adil dalam mengagih hak bukan yang mengambil kesempatan dari hak Melayu untuk segelintir UMNO. Hak-hak Melayu yang masih ada mesti dipertahankan, tanah rezab Melayu, keistimewaan jawatan pentadbiran kerajaan, keistimewaan pendidikan, keistimewaan agihan lesen dan permit perniagaan mesti dipertahankan. Akta 15, 152, dan 153 perlu kekal.

Inilah harapan yang ingin disampaikan, agar dapat dipertimbangkan UMNO kerana dalam masa yang sama orang Melayu dilihat sedang buat pertimbangan.

Kangkung dari sudut pandang yang berbeza.

1) Ramai mempersenda dan mengutuk PM kerana ucapannya berkaitan kangkung. Sepeti biasa, ramai suka ikut-ikut, untuk berada diarus perdana konon.

2) Setiap komen dan sindiran mempunyai tujuan tertentu, paling malang jika yang buat komen cuma ikut sedap hati, saja suka-suka tanpa mendalami maksud kenapa isu ini dihangatkan.

3) Secara tidak disedari kita jadi penyumbang tolol kepada satu tujuan jahat merendah-rendahkan kepimpinan yang ada untuk satu matlamat yang cukup jahat. Ya, kepimpinan yang sedia ada agak lemah dalam mengendali isu-isu semasa tetapi kutukan dan kritikan biarlah berpada-pada.

4) Penjelasan yang cuba PM berikan adalah kepada harga sesetengah barangan yang diluar bidang kawalan kerajaan.

5) Kita bukan negara komunis untuk membolehkan kerajaan mengambil tindakan sewenang-wenang terhadap kegiatan ekonomi negara. Terdapat sesetengah harga barangan ditentukan oleh tekanan pasaran bebas iaitu tekanan permintaan dan pengeluaran. Penentu kepada permintaan dan pasaran adalah pengguna dan pembekal bukan kerajaan.

6) Kerajaan mungkin boleh menyediakan sokongan bagi mengimbang keadaan tetapi peranan utama adalah pada penguna dan jangan lupa rantaian pembekal.

7) Siapa menguasai rantaian bekalan? Kerajaan?, UMNO?, Melayu? dan siapa pula pengguna? kita?

9) “Kangkung” mengajar kita untuk memecahkan monopoli rantaian pembekal yang menindas tetapi dengan licik menunding jari kearah orang lain.

10) Tanam kangkung untuk sayuran kegunaan sendiri, sedekahkan kepada jiran-jiran jika berlebihan. Jual dengan harga yang berpatutan jika ingin mencari pendapatan tambahan.

11) Usahakan penanaman sayuran lain bila dah ada kemahiran bercucuk tanam, ceburi bidang pembekalan sayuran, kembangkan perniagaan kepada bidang-bidang lain, berkerjasama dan ujudkan jaringan perniagaan dan perdagangan.

12) Mari jadikan “kangkung” pencetus kepada kesedaran untuk bebaskan ekonomi kita dari penjajahan dan penindasan jaringan pembekal yang menipu dan menindas kita selama ini.

13) Semoga kangkung dijadikan pencetus kesedaran dan bukannya kutukan yang sebenarnya sengaja dilakukan dengan niat yang jahat.

14) Janganlah hilangkan pertimbangan waras dalam arus teknologi internet ini kerana kita akan hanyut jika tidak direnangi dengan waspada dan bijaksana.

Kenaikan harga barang, mungkinkah ini silapnya?

1.   Ya, kerajaan telah dan akan menaikkan harga berberapa perkhidmatan dan barangan yang dikawal harganya.

2.   Bukan semua perkhidmatan dan barangan dikawal kerajaan.

3.   Memang benar kenaikan harga kawalan boleh menyebabkan  kesan rantaian kepada kos pembuatan barangan dan penyediaan perkhidmatan.

4.   Adakah kadar kenaikan disebabkan kesan rantaian ini berpadanan?

5.   Salah satu peningkatan kos yang berlaku adalah pelaksanaan gaji minima.

6.   Harga upah meningkat dan kesan anjakan gaji ini merentasi keseluruhan tangga gaji sesebuah perniagaan.

7.   Peniaga yang meletakkan harga juga mahukan kenaikan pada keuntungan mereka lalu jalan paling mudah adalah menaikkan harga.

8.   Terdapat unsur monopoli dan “cartel” dalam kebanyakkan perniagaan di negara ini.

9.   Ia berkuasa menghalang berlakunya pasaran bebas.

10. Persaingan perniagaan yang sihat tidak pernah dan boleh berlaku dalam keadaan sekarang.

10. Kenapa kerajaan melaksanakan penetapan gaji minima?

11. Ia berlaku kerana tindakan politik popular.

12. Pembangkang juga menjuarai isu gaji minima malah menetapkan kadar lebih tinggi dari apa yang dilaksanakan sekarang jika mereka berjaya memerintah.

13. Adakah pembangkang akan dapat mengekang kenaikan harga jika mereka memerintah dan melaksanakan skim gaji minima mengikut kadar yang mereka wawarkan?

14. Adakah kerajaan silap apabila memutuskan untuk melaksanakan skim gaji minima?

15. Ya, kerajaan silap kerana terikut-ikut dengan rentak pembangkang dan memilih politik popular untuk memenangi hati rakyat tanpa memikirkan kesan terhadap rakyat kemudiannya.

16. Kerajaan sepatutnya membasmi kegiatan monopoli dan “cartel” dalam perniagaan sebelum penetapan gaji minima ini dilaksanakan.

17. Tunjuk perasaan menuntut kerajaan menghalang kenaikan harga tidak akan menghasilkan apa-apa kecuali bermotif politik untuk menjatuhkan kerajaan yang memerintah kerana kerajaan bukan penentu kepada semua harga barangan dan perkhidmatan.

18. Tunjuk perasaan dan desaklah kerajaan bertindak hapuskan monopoli dan “cartel” yang mencengkam pengguna serta telus dan berhemat dalam perbelanjaan negara sebelum pelarasan gaji minima dan kenaikan harga kawalan dilaksanakan.