Cadangan Belanjawan 2014.

     Kumpulan Pemerhati AlWatan dengan rasa berbesar hati menyahut seruan kerajaan agar rakyat dari pelbagai golongan memberi  cadangan bagi penyediaan belanjawan tahun hadapan. Keterbukaan kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan rakyatnya mendorong AlWatan turut serta melontarkan beberapa cadangan.

 

     Insaf dan menyedari tidak semestinya semua cadangan dituruti, AlWatan akan berasa cukup bangga jika cadangan-cadangan yang akan diberikan nanti mendapat perhatian dan pertimbangan. AlWatan bersedia untuk memberi keterangan atau cadangan tambahan maupun apa-apa perkara yang dapat menyokong kerajaan yang memerintah agar negara kita berkembang maju, makmur dan aman serta terpelihara kedaulatannya.

 

     Melihat perkembangan masyarakat mutakhir ini, AlWatan percaya tindakan yang betul dalam perbelanjaan negara boleh menambahbaik keadaan, begitu juga sebaliknya ia boleh memburukkan lagi persekitaran ekonomi dan kemasyarakatan yang sedia rapuh ini. Persekitaran kemasyarakatan agak goyah kebelakangan ini akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir mereka yang keterlaluan dalam cubaan meraih keuntungaan bagi pihak masing-masing tatkala pemerintah dilihat mereka tidak sekuat dulu.

 

     AlWatan mencadangkan agar belanjawan 2014 memberi penekanan kepada penambahbaikan nilai-nilai kenegaraan yang boleh meningkatkan perpaduan rakyatnya. Malaysia, seperti juga mana-mana negara di dunia sudah pasti mempunyai teras kenegaraannya. Mengikut kefahaman AlWatan teras kenegaraan Malaysia adalah agama Islam, bahasa Melayu dan budaya Melayu. Agama, bahasa dan budaya lain boleh diamalkan tetapi tidak boleh sama sekali disama-ratakan kedudukannya dengan teras tadi. Ada cubaan jahat menyamaratakan teras kenegaraan malah melangkau melebihi teras yang termaktub dalam perlembagaan. Amat menyedihkan lagi apabila dilihat kerajaan memerintah tiada daya menghalang malah ada kalanya lebih-lebih lagi mengabaikan teras negara tersebut. Gagasan 1Malaysia telah disalah tafsirkan atau sememangnya satu gagasan yang menolak teras dan berperinsip kesamarataan hanya boleh dijawab oleh pemerintah. AlWatan dapat rasakan rakyat ingin tahu jawapan dari pemerintah, dan keinginan itu lebih melonjak-lonjak lagi sekarang.

 

     Bagi meletakkan agama Islam sebagai agama persekutuan, pemahaman yang betul tentang agama Islam sebagai Addin perlu menjadi pegangan setiap warganegara Islam. Semua warganegara pula perlu diberitahu akan amalan dan larangan dalam Islam dan dalam masa yang sama memahami juga agama dan adat budaya semua kaum yang ada. Islam adalah cara hidup oleh itu ia perlu diperlihatkan kepada orang bukan Islam. Pentarbiahan bukan hanya melalui ceramah-ceramah agama sahaja tetapi perlu dipertingkatkan lagi dengan sikap dan perbuatan. Kerajaan perlu menterjemahkan dasar dan keputusan dengan betul. Sebagai contoh, pemberian hadiah mengerjakan haji perlu dinilai semula. Tanggapan-tanggapan salah tentang Islam perlu diperbetul. Pemutihan perlu dilakukan keatas institusi-institusi agama Islam samada dibawah kerajaan ataupun tidak. Selain dari ajaran Islam yang terpesong, rasuah, salah guna kuasa, penipuan dan mengambil kesempatan keatas orang tua dan kanak-kanak oleh badan-badan yang membawa jenama Islam perlu dihentikan. Pembetulan perlu bermula dengan agensi-agensi kerajaan seperti Tabung Haji, Jakim, Yapeim, dan lain-lain hinggalah ke peringkat negeri, swasta, badan bukan kerajaan serta pertubuhan-pertubuhan. Jakim boleh diberi tugas ini dengan menubuhkan satu cabang penyiasatan dan penguatkuasaan. Cabang ini juga bertanggunjawab memastikan tiada cubaan penghinaan terhadap agama Islam oleh sesiapa pun. Satu peruntukan dana perlu disalur untuk melaksanakan rancangan ini. Di masa yang sama usaha-usaha memperjelaskan Islam kepada masyarakat perlu dipertingkatkan.

       

     Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diletakkan pada kedudukan yang sepatutnya. Dewan Bahasa dan Pustaka boleh memainkan peranan itu dengan sedikit pengubahsuaian fungsi dan peranan. Ia akan melibatkan soal perundangan kerana penubuhannya terikat dengan akta DBP. Jika akta sukar dipinda maka satu badan lain perlu ditubuhkan bagi mengisi keperluan memartabatkan semula bahasa kebangsaan. Samada DBP atau satu badan baru, ia perlu diberi bidang kuasa khidmat nasihat, pengawalan, dan penguatkuasaan. DBP atau badan baru ini perlu duduk dibawah JPM dan tidak seperti DBP sekarang yang berada di bawah Kementerian Pelajaran. Satu peruntukkan kewangan yang sesuai perlu diberikan supaya kerja-kerja memartabatkan semula bahasa kebangsaan boleh dilaksanakan. Satu rancangan tindakan perlu disediakan dan dihebahkan oleh pengurusan tertinggi badan baru ini. Satu jumlah kewangan yang sesuai boleh diperuntukkan untuk pemartabatan bahasa kebangsaan ini.  Ianya akan memberi kesan jangka panjang terhadap pembinaan jati diri dan negara bangsa yang bersatu padu.

 

     AlWatan juga mencadangkan agar yuran pendaftarkan perniagaan dan syarikat dikaji semula. Pendaftaran bagi perniagaan dan syarikat yang didaftarkan dengan nama menggunakan bahasa kebangsaan dicadangkan dikurangkan separuh dan yang menggunakan bahasa lain dinaikkan lagi separuh. Sekarang, pendaftaran perniagaan milik tunggal dengan nama dagang dikenakan bayaran RM60.00 setahun. Maka dengan cadangan baru ini, jika menggunakan bahasa kebangsaan, yuran tahunannya RM30.00 manakala jika tidak menggunakan bahasa kebangsaan dikenakan RM90.00. Perkiraan yang sama juga boleh dilakukan kepada pendaftaran syarikat dimana yuran dikenakan mengikut pendaftaran nilai modal yang dibenar. Ia boleh juga dipanjangkan lagi kepada yuran pendaftaran “tanda dagang” dan lain-lain.

 

     Dalam sektor ekonomi pula kerajaan telah mentakrif semula perusahaan kecil dan sederhana dengan meningkatkan had-had nilai jualan bagi menentukan taraf kedudukan sesuatu perusahaan. Ramai pengusaha-pengusaha mikro dan kecil terkeliru kedudukan mereka. Yang bertaraf  mikro menjangka mereka kecil, dan yang bertaraf kecil mengaku sederhana. Apabila pentakrifan baru ini dikuatkuasa tahun hadapan, kekeliruan ini akan bertambah lagi. Mereka yang terkeliru ini adalah pengusaha-pengusaha yang tidak aktif berpersatuan dan yang berada di pinggir bandar dan luar bandar. Mereka terlalu sibuk dan tertumpu kepada kerja harian mereka dan mereka inilah yang secara terancang dipinggir. Banyak sokongan dan galakan diberikan kepada PKS tetapi sokongan  kepada pengusaha mikro lebih kepada kemudahan pinjaman memulakan perniagaan kecil-kecilan. Usaha perlu dipertingkatkan bagi meyokong kumpulan pengusaha mikro ini melonjak ke taraf kecil dan sederhana.Satu agensi khas perlu ditubuhkan untuk menyelaras pembangunan pengusaha mikro seperti juga SMECorp untuk PKS. Buat permulaan ia boleh diletakkan dibawah JPM dan akan berkerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Indusatri Asas Tani dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Setelah ianya bertapak dan berfungsi, ia boleh dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Halehwal Pengguna atau ujudkan satu kementerian khas untuknya. Peruntukan belanjawan yang sesuai boleh menjadi pemacu kepada kumpulan ini. Ianya perlu melibatkan khidmat nasihat perniagaan dan pengurusan, peluang-peluang pemasaran dan peningkatan kualiti. Jika penumpuan dan rancangan pembangunan yang betul diambil, pengusaha-pengusaha ini akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah sekaligus peningkatan ekonomi negara.

 

     Belanjawan 2014 juga dicadangkan memasukkan belanjawan untuk menambah bilangan mahkamah, penjawat perundangan dan keperluan-keperluan lain bagi mengujudkan mahkamah khas bagi membicarakan kes-kes fitnah, hasutan dan mengaibkan seseorang. Sesuatu fitnah dan pembohongan serta hasutan termasuk juga perbuatan mengaibkan seseorang perlu ditangan melaui proses undang-undang dengan kadar segera. Kerosakan yang ditimbulkan begitu cepat dan meluas untuk kita berlengah. Ia disebabkan oleh kemajuan teknologi maklumat hari ini. Kita telah melihat kerosakkan yang ditimbulkan. Oleh itu kerajaan yang tegas dan perihatin perlu menanganinya. 

    

     Budaya Melayu sebagai teras budaya negara perlu dirakyatkan. Galakan-galakan pelepasan cukai dan pengurangan yuran perlu diberi kepada apa-apa kegiatan atau hasil keluaran yang ada ciri-ciri budaya Melayu. Kegiatan dan hasil keluaran adalah seperti rekabentuk bangunan, pengeluar pakaian, pengusaha makanan tradisional, kedai makan berkonsepkan Melayu dan lain-lain. Filem dan rancangan televisyen yang memaparkan budaya Melayu boleh juga diberi galakan dan ganjaran kewangan. Ianya termasuk juga rancangan-rancangan televisyen yang memberi rangsangan kearah kemajuan dan jati diri. Filem-filem dan rancangan-rancangan televisyen yang menusuk jarum kelekaan, tahyul dan lalai perlu disekat siarannya. Masyarakat kita masih kuat dipengaruhi hiburan dan televisyen. Jadi disitulah pintu masuk samada racun atau penawar yang akan meresapi pemikiran mereka. 

 

     Akhir sekali, bantuan terus kepada rakyat boleh diteruskan tetapi diharap pelaksanaannya diperbaiki. Rakyat jelek melihat telatah sesetengah pemimpin seolah-olah memberi sedekah harta sendiri dalam mengangih wang kerajaan. Wang bukanlah segala-galanya, ia adalah sebahagian dari keperluan seperti juga maruah dan harga diri untuk setiap insan. Peruntukan-peruntukan yang dilaungkan oleh pemimpin ketika lawatan atau upacara perasmian perlu diteliti. AlWatan melihat pada satu peringkat, belanjawan tiada apa-apa makna lagi apabila peruntukan boleh diturunkan sesuka hati pemimpin. Ada yang boleh bertanya “Cukup tak? Kalau tak cukup tambah lagi”. Kejadian begini bukanlah memberi gambaran pemimpin yang cerdik.

 

Dicadang oleh : Kumpulan Pemerhati AlWatan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s