2018 – Bahagian Ke2 (Pasca PRU)

 

Kita sudah melihat BN tumbang dan kita sedang melihat PH memerintah. Pasca PRU14 ini akan menyaksikan permainan nombor, kumpulan mana yang dapat lebih boleh mengambil-alih kerajaan. Tun M dari PPBM diangkat sebagai Perdana Menteri, walaupun PPBM hanya ada 12 kerusi parlimen. Dalam Pakatan Harapan (PH), DAP mempunyai 42 kerusi dan PKR mempunyai 49 kerusi. Amanah pula mempunyai 10 kerusi. Jumlah semua kerusi milik PH adalah 113 kerusi, melepasi garis majoriti 112 dengan hanya 1 kerusi. Parti Warisan yang memiliki 8 kerusi dan beberapa parti lain menyokong PH tetapi bukan anggota komponen.

 

Kerusi pembangkang baru.

Parti-parti di luar PH pula ada yang menyertai blok pembangkang dan ada yang menjadi “rakan” PH. UMNO ada 55 kerusi, PBB 13 kerusi, PRS 3 kerusi, MIC 2 kerusi, manakala MCA, PDP, SUPP, PBS, UPKO, dan PBRS masing-masing 1 kerusi setiap parti. PAS ada 18 kerusi, Warisan ada 8 kerusi, USA dan STAR masing-masing 1 kerusi dan BEBAS 3 kerusi.

 

Perdana Menteri minoriti.

Tidak dapat diselindungi yang Tun M berhadapan dengan masa-masa sukar sebagai seorang PM. Disebabkan kedudukan PPBM yang begitu lemah (12 kerusi) berbanding dengan DAP (42), PKR (49), dan Amanah (10). Kurangnya hormat dan akur menteri-menteri yang dipilih oleh PH terhadap arahan, teguran dan batuk-batuk Tun M memang ketara. Kesukaran dan kelewatan membuat beberapa keputusan seperti pembentukan kabinet memperlihatkan terdapatnya perbezaan pendapat antara parti komponen PH yang sukar ditangani beliau.

Kecurigaan parti-parti komponen terhadap PM dapat dirasakan. Kenyataan dan tindakan politik seperti “ Tun M bukan penyebab kemenangan PH” dan tindakan LGE mengedarkan kenyataan akhbar kementerian kewangan dalam tulisan mandarin adalah petunjuk-petunjuk nyata pemberitahuan had dan takat kuasa PM minoriti. Terkini agihan jawatan menteri dan timbalan menteri mula dipertikaikan oleh parti komponen PH, yang paling lantang DAP. Peguam negara lantikan PH pula dikutuk secara terbuka kerana gagal menguasai bahasa kebangsaan lalu membuat sidang akhbar dalam bahasa Inggeris.

 

Tun M PM

Tun M bukanlah rookie dalam politik tanahair. Beliau masak dengan sepak-terajang dan kuntau setiap pendekar politik yang ada kerana sebahagiannya masih mentah dan bayi sewaktu beliau sudah bergelar mahaguru.

Buat masa ini Tun M terpaksa membuat beberapa pengumuman dan keputusan yang mungkin dia sendiri tidak setuju tetapi dicadang dan dipersetujui oleh parti-parti lain dalam PH. Oleh itu para pendokong Tun M perlu peka dan bertindak wajar. Mana-mana keputusan yang diambil oleh Tun M boleh dan ada kalanya patut dibantah kerana mungkin keputusan itu terpaksa dibuat oleh Tun M atas dasar persetujuan bersama dalam PH. Tun M sendiri mungkin mengharapkan agar ianya dibantah. Permainan ini perlu difahami dan keserasian perlu ada dalam kem Tun M.

 

Permainan Nombor.

Sekarang :

PH(113) = PKR(49) + DAP(42) + PPBM(12) + Amanah(10).

BN(79) = UMNO(55) + PBB(13) PRS(3) + MIC(2) + Lain-lain(6)

PAS(18)

PM = Tun M, dari Amanah(10 kerusi)

 

Andaian Pertama.

PKR(49) + PAS(18) + UMNO(55) = 122.

Jika kem Anwar dalam PKR merasakan mereka terpinggir dan PPBM semakin kuat dan cita-cita peribadi Anwar terhalang, PKR mungkin bertindak keluar PH bergabung dengan PAS dan UMNO membentuk kerajaan. Untuk melakukan ini, isu Melayu akan diapi-apikan bagi membakar semangat. PPBM akan rasa terancam oleh DAP lalu ahli-ahlinya akan menyertai PKR atau PAS atau UMNO. DAP jadi ketua pembangkang, PPBM terbubar. Tun M juga akan menyertai salah satu parti atau bersara. Jika gerakan ini dilakukan oleh Anwar, maka dia berpeluang mengantikan Tun M sebagai PM. Jika terlewat atau salah langkah dia akan kumpunan lagi. UMNO dengan 55 kerusi tentu ingin memiliki kerusi PM dan Tok Mat pada bila-bila masa lebih dipercayai oleh bani Melayu berbanding Anwar. Siapa jua PM, dia akan berkedudukan lebih teguh kerana datangnya sudah tentu dari parti yang memiliki kerusi terbanyak. Daalam sinario lain, PKR yang berbeza cuma 6 kerusi dan dengan timbulnya beberapa ekor katak politik, tidak mustahil dapat mengatasi UMNO.

 

Andaian Kedua.

UMNO(55) + DAP(42) + Amanah(11) + MIC(2) + lain-lain(6) = 116.

Jika DAP merasakan mereka tidak dilayan adil dalam PH dan tawar-menawar dengan UMNO menguntungkan, DAP akan keluar PH, diikuti oleh Amanah untuk menyertai UMNO bersama beberapa ahli parlimen yang melompat parti dan membentuk kerajaan. PM dari UMNO, DAP menjadi penganti Gerakan+MCA. UMNO bernyawa semula. UMNO lebih kukuh dalam percampuran ini berbanding andaian pertama. Jika ini pilihannya, UMNO diambang kemusnahan kekal. Berbondong-bondong bani Melayu akan berarak keluar dan menentang UMNO, DAP akan menambil kesempatan membolot apa saja secepat mungkin bersama elit-elit UMNO kerana kebencian meluap-luap orang Melayu akan tercetusnya pemberontakan, Melayu aristokrat bersama bourgeois bergasak dengan Melayu proletariat dan marhaean. Untuk menang bantuan ditagih, dan kedaulatan tergadai. Bagaiamana nasib Melayu pada masa itu?

 

Andaian Ketiga, Keempat dan Kelima.

Dalam politik macam-macam boleh berlaku, oleh itu bermacam-macam andaian boleh kita jangkakan. Menarik tetapi membahayakan negara dari sisi-sisi ekonomi, keselamatan dan perpaduan masyarakat.

 

Kerisauan Al-Watan.

Kedaulatan perlembagaan yang melindungi umat Melayu menjadi pertaruhan. “Political Animal” ini akan menawarkan apa saja asalkan beroleh kuasa untuk terus rakus merompak harta negara hasil keringat rakyatnya. Agama, bahasa, budaya, pemilikan tanah dan hasilbumi serta lain-lain hak istimewa Melayu Bumiputera akan tergadai. Sejarah akan diputarbelitkan supaya tanah air ini seperti tidak bertuan. Lalu kesamarataan versi mereka akan ditabalkan menjadi pegangan pemerintahan dan Melayu akan ditindas dengan penuh dendam dan kejam. Maka Al-Watan ingin berpesan, berhati-hatilah dalam setiap tindakan dan keputusan. Terlalu banyak kisah silam Pak Pandir dan Si Luncai untuk kita renungkan. Mereka yang tidak meneladani sejarah akan dilaknati oleh sejarah yang terulang.

Advertisements

2018

Kemelut Melayu makin berbelit dan kusut, lepas satu, satu. Kerja umrah pun nak dijadikan bahan membesar tembolok secara paksaan, tanah harta yang diamanahkan pun dilelong sesuka hati tetapi dalam masa yang sama tanpa rasa malu bertakbir sana-sini perjuangkan Islam. Sendiwara jenaka teragung penutup hujung tahun masihi yang begitu malang buat umat Melayu…

Semoga tahun baru masihi 2018 dapat memperlihatkan kembalinya maruah umat Melayu di bumi Tanah Melayu..

Tiba 2018, yang paling diberi perhatian Pilihanraya Umum ke14. AlWatan menjangkakan PRU14 akan bergelumang dengan isu perkauman. Akan ada percaturan diluar jangkaan berlaku sebelum hari mengundi.

DAP akan tinggalkan Pakatan Harapan atau ditendang keluar.

Penyokong DAP tidak dapat menerima kerjasama DAP dengan parti lain terutamanya Bersatu. Mereka khuathir kepentingan mereka akan terhakis akibat tolak ansur politik dalam PH. DAP yang dahulunya disanjung pejuang sudah mula dicurigai. Adanya kempen undi rosak bagi PRU14 memperlihatkan kecenderungan itu. Akan ada lagi kempen-kempen lain yang sepertinya bagi menggagalkan kemenangan PH. DAP bagi mereka adalah peneraju perjuangan, meraka tidak dapat menerima DAP menjadi pengikut kepada satu pakatan yang diketuai oleh orang lain. Kepentingan mereka mengatasi keinginan kepada kerajaan yang lebih beramanah dan bermaruah. Kepentingan kuasa politik dan ekonomi lebih utama, maruah dan amanah tiada dalam kamus mereka.

PAS akan menjauhkan diri dari BN.

Sukar bagi beberapa kerat pemimpin PAS meyakinkan pengikut mereka akan setiakawan UMNO. UMNO juga terikat dengan ikrar perkongsian kuasa dengan parti komponen yang tidak menyenangi hubungan intim UMNO PAS. Ketidakselesaan MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen di Borneo jelas diperlihatkan. UMNO memahami perkara ini. PAS sendiri perlu memastikan peruntukkan kerusi yang mencukupi di parlimen bagi menjamin suara mereka bermakna dan tidak diperguna hanya untuk kemenangan UMNO dalam PRU. Ketidakhadiran TGHH dan pemimpin utama yang lain dalam himpunan solidariti Palestin memperlihatkan tanda-tanda curiga dan waspada pemimpin PAS.

Peranan dan pengaruh Tun Mahathir.

Percaturan politik Tun M amat memberi kesan pada PRU14. UMNO/BN menyedari hakikat ini. Tidak hairanlah jika diperhatikan serangan-serangan bertubi-tubi terhadap Tun M, bukan kepada Bersatu maupun PH, apatah lagi kepada DAP. UMNO/BN masih menaruh harapan dapat membeli beberapa pemimpin Bersatu, Amanah dan parti-parti lain dalam PH termasuk DAP. Tun M diserang kerana beliau pernah meneraju negara. Undi dari pengundi atas pagar dan mereka yang tidak berparti terutamanya golongan muda penting dan penentu kemenangan dalam PRU14. Jika peneraju negara sekarang ini dituduh dengan pelbagai salah laku, mereka perlu dipengaruhi bagi mempercayai kepimpinan Tun M dulu pun kalau tidak lebih buruk, setidak-tidaknya sama buruk seperti yang ada sekarang, itu yang sedang diusahakan dengan apa juga cara dan kuasa yang ada. Apabila Tun M dan parti Bersatu yang diterajui beliau tidak mendapat sokongan secukupnya, parti-parti dalam PH berkemungkinan berpaling tadah, ini kegilaan biasa dalam politik. Jadi atas perkiraan itu, serangan tertumpu kepada Tun M. Parti dan pemimpin lain dalam PH diserang secara suam-suam kuku bagi mengabui mata. Timbal balas kepada tindakan itu, Tun M dibiarkan bersedirian mempertahankan diri dan menyerang balas. Inilah permainan politik yang sentiasa kotor dan berbelit.

DAP bersama BN.

Sejarah menyaksikan parti Gerakan yang merupakan antara watak utama tragedi 13 Mei, menyertai BN pada tahun 1972. Apa yang mustahil sangat jika DAP menyertai BN kelak selepas PRU14 2018. Dengan kecenderungan UMNO/BN sekarang yang memandang ke tembok besar lebih hebat dari Tun M memandang ke timur ianya menjadi lebih berkemungkinan. Tetapi ianya hanya dijangka berlaku selepas keputusan PRU14 diumumkan. Bilangan kerusi UMNO/BN dan DAP akan menjadi penentu. Jika UMNO/BN perlukan bilangan kerusi dari DAP untuk membentuk kerajaan, kerjasama dan tolak ansur akan dirundingkan. DAP akan tinggalkan Tun M dan PH dengan menyertai BN jika habuannya berbaloi. Ianya dengan mudah akan dilakukan melihat kepada cara kepimpinan BN sekarang. Kalau dengan negara Cina boleh dilakukan, apalah sangat dengan DAP.

PAS bersama PH

PAS boleh duduk semeja dengan PH jika tanpa DAP. Samada ia berlaku sebelum PRU atau selepasnya bergantung kepada kedudukan DAP dalam PH. Pengagihan kerusi akan menjadi masalah besar kepada PH. Keberadaan PKR dalam PH menggangu DAP dalam agihan kerusi kawasan bandar dan kawasan pengundi majoriti Cina. Ia mungkin memyebabkan DAP keluar PH sebelum PRU. Tindakan tikam belakang semasa berkempen akan menyebabkan berlaku pertelingkahan PKR DAP selepas PRU yang memungkinkan DAP keluar PH. Dalam salah satu keadaan ini PAS akan membuat congakan politik mereka samada bersama PH, bersama BN atau bersendirian. PH sememangnya bersedia menerima PAS, perseteruan Amanah dengan PAS boleh diredakan oleh Tun M.

Pengelibatan pengaruh luar dalam PRU14.

Keputusan PRU akan menentukan parti/pakatan mana yang akan membentuk kerajaan yang memerintah. Negara kuasa besar dan yang berkepentingan tentu ingin memastikan kerajaan yang terbentuk nanti memihak kepada mereka. Negara-negara ini pula tentunya mempunyai seteru yang inginkan sebaliknya. Perkara ini bukan asing bagi negara ini. Lambakan dana akan mencurah datang kepada parti-parti yang ditaja mereka bersama pakar-pakar strategi termasuk agen-agen pelaksana dan pencetus. Terpulanglah kepada parti-parti yang terlibat samada mahu ditunggangi atau masih mempertahankan kedaulatan negara mengatasi kepentingan parti masing-masing. Bagi pengundi, terutamanya orang Melayu, berhati-hatilah.

Kuasa pengundi Melayu.

Bersatu dan UMNO mengharapkan kemenangan dikawasan pengundi Melayu. Bilangan kerusi yang dimenangi akan menentukan kuasa rundingan dan tolak ansur dalam PH dan BN. PAS akan menang di kerusi tradisi mereka. Jumlahnya mungkin sedikit berkurangan tetapi cukup untuk diberi perhatian oleh kedua-dua PH dan BN. Jadi betullah perkiraan PAS untuk bermain tarik tali dengan UMNO dan tidak bertalak tiga dengan PH. Akhirnya, kebijaksanaan pengundi Melayu menjadi penentu namun pilihan hanya ada untuk memilih UMNO atau Bersatu atau PAS, bukan PH atau BN. Congaklah dengan bijak, semoga pandangan dan analisa ini diberikan sedikit pertimbangan sebelum keluar mengundi.

Dap – Menjawab Tun.

(… seperti komen yang ditulis pada entri bertajuk “DAP” di blog Tun “Chedet” 6-10-17 )

Tun yang saya hormati, dengan rasa rendah diri,..

Apa pun pengakuan dan alasan Tun, menerima DAP adalah sesuatu yang amat sukar bagi ramai Melayu.

Orang Melayu tidak boleh lupa keangkuhan dan kebongkakan DAP menghalau Melayu (bukan hanya UMNO) keluar dari Kuala Lumpur 13 Mei 1969, cuma 48 tahun dahulu, ramai Melayu yang masih hidup boleh menceritakannya. Gambar-gambar penyapu besar dan bendera DAP masih ada untuk menceritakannya.

Walaupun diakui banyak jasa Tun kepada orang Melayu tetapi Tun tidak dapat mengubah apalagi memadamkan sejarah termasuk laporan kertas putih tragedi 13 Mei yang dikeluarkan oleh kerajaan ketika itu. Apakah esok lusa Tun akan kata laporan itu salah?

Tun juga pernah mengingatkan bahawa sesiapa yang melupakan sejarah akan disumpah oleh sejarah ( yang akan berulang)

DAP tetap tidak berubah akan ketamakan dan keangkuhan mereka. Contohnya, sehingga sekarang mereka tetap memperjuangkan pilihan raya untuk PBT,supaya Datuk Bandar dan Yang Dipertua dan ahli Majlis dapat dimonopoli oleh mereka, Cuma atas alasan demokrasi yang menguntungkan mereka.

Kita ketahui hampir kesemua kawasan bandar dikuasai mereka. Bolehkan Tun berjanji sekarang, sebelum PRU14 bahawa pilihan raya PBT tidak akan diadakan jika PH menang.

Selain itu, segala gelagat DAP dan LKS terutamanya, tetap tidak berubah, blog LKS jelas memperlihatkan sikap DAP yang sebenar jika diselami yang tersirat. Termasuk juga suara-suara mereka yang lain di alam maya. Kami sentiasa memerhati.

Tun sibuk memperjuangkan sebuah kerajaan yang diterajui oleh pemimpin yang tidak rasuah dan salahguna kuasa tetapi  DAP dengan sikap licik mereka mengambil kesempatan menyucikan diri dimata orang Melayu.

LKS tidak berada di K.L. sewaktu 13 Mei 69 jadi dia bersih dan tidak terlibat langsung, DAP parti yang bersih, tidak perkauman dan anti Melayu, bahawa kesilapan kiraan undi kerana MSexcel, yang buat dan arak penyapu besar tu bukan DAP tapi orang UMNO?

Ramai Melayu sedang berada dipersimpangan baru, di persimpangan ini kita berpecah lagi…

Membentuk Bangsa Pengemis

Satu perkara yang amat merisaukan Al-Watan apabila masyarakat Melayu sedang dibentuk menjadi bangsa pengemis. Pemberi berbangga dengan pemberian, dan penerima tanpa rasa silu menerima pemberian. Tiada lagi menilai pemberian itu samada adil sifatnya atau berhak menerimanya.

Contoh utama adalah agihan BR1M. Al-Watan tidak mempersoal kewajaran pemberian tersebut tetapi cara pemberiannya itu yang dipersoal. Kenapa parti politik terlibat, walaupun parti yang memerintah, ianya tetap penyalahgunaan kuasa. Yang patut bertanggungjawab adalah Ketua Setiausaha Negara kerana membiarkan pentadbiran kerajaan ditunggangi oleh parti politik.

Yang lebih dikecewakan adalah rakyat diajar untuk menunggu berbaris dan kemudiannya “dipaksa” mendengar ceramah sebelum diberi BR1M. Di sini disemai sifat pengemis kedalam jiwa masyarakat, asalkan dapat sedikit habuan secara mudah tanpa perlu usaha sanggup turutkan kemahuan si pemberi. Tidak ada lagi pertimbangan maruah dan harga diri. Sedangkan duit BR1M itu adalah dari Perbendaharaan Negara, bukan duit mana-mana parti politik. Tidak ada rasa ingin menuntut supaya pemberian BR1M tidak di dipolitikkan seolah ia diberi oleh parti politik tertentu.

Sepatutnya pemberian BR1M dipermudahkan seperti dimasukkan ke akaun bank atau melalui kementerian yang berkenaan. Tidak perlu ada upacara yang membazir wang dan membazirkan waktu penerima yang sepatutnya menggunakan waktu itu untuk berusaha mencari rezeki. Berapa ramai golongan pekerja mengambil cuti semata-mata hendak hadir ke upacara pemberian itu takut-takut tidak dapat jika tidak hadir. Para “pembesar negeri” pula begitu bermegah memberikan sampul BRIM kepada penerima yang beratur panjang, “macam sedekah duit bapak dia” kemudian meminta penerima supaya berterima kasih dan mengenang budi. Ketahuilah, kami benci melihatnya dan ramai yang lain juga meluat.

Itu satu contoh yang ketara dan nyata, pemimpin sekarang sedang menyemai benih bangsa pengemis. Jika diperhalusi banyak lagi tindakan-tindakan pemerintah yang menyuburkan jiwa pengemis kedalam masyarakat terutama Melayu. Pemberian-pemberian berbentuk habuan segera ini diperbanyakkan sedang harga barang keperluan semakin meningkat, penerima dilayan seperti pengemis, beratur panjang dan menadah tangan. Sikap feudalism jelas kelihatan di muka-muka mereka. Kita tidak lagi sama, mereka dengan kemewahan dan kuasa adalah “tuan” yang menyara hidup kita selaku “hamba pengemis” yang perlu taat dan patuh kepada tuannya.

Jika dibiarkan tanpa kawal, percayalah Melayu takkan hilang didunia, Melayu akan jadi bangsa pengemis hina…Al-Watan.

Mari fahami perkataan bahasa “Malaisia”

Perkataan “macai” dipendekkan dari “malai chai”. “chai” bererti budak, Dari segi maknanya adalah budak suruhan. Kepada sesetengah “orang Malaisia” taraf Melayu ni setakat budak suruhan saja. Secara manis dihadapan khalayak macai akan dipanggil sebagai “personal assistant” tetapi sebenarnya sekadar budak suruhan untuk hantar surat atau barang yang tidak boleh dipercayai dan tak ada masa depan.

Perkataan seterusnya, “Amad” bermakna pemandu peribadi atau budak suruhan peribadi. Ia berbeza dengan “macai” yang bersifat am. Amad lebih spesifik hanya menjadi budak suruhan dan pemandu kepada seorang “taukey”. Ia menjadi kebanggaan taukey kepada rakan-rakan lain jika memiliki “amad”, tambahan lagi jika “amad” itu kelihatan patuh dan takut kepada taukeynya. Kesetiaan tak perlu kerana taukey tak pernah akan percaya kepada “amad”nya.

Sempena Ramadhan, marilah kita tingkatkan martabat dan maruah agama dan bangsa. Selamat berpuasa.

Cepatlah belajar…

Cepatlah belajar, walaupun ramai telah pandai tetapi masih ramai juga yang belum, berusahalah. Kemuncak pendustaan, fitnah dan adu domba telah tiba. Sudahkah kita bersedia? Media alam maya dan media konvensional sama naik memalu gendang kemusnahan tanpa silu. Kita, kami dan anda semua kelak jadi mangsa kerakusan sebilangan kecil manusia gila kuasa dan harta, bagaikan tiada syurga neraka buat mereka. Berhati-hatilah kerana kemusnahan bukan kepalang dahsyatnya.

Fahamilah serba sedikit tentang perang sikologi kerana ia diiringi dengan perang saraf yang melibatkan kepura-puraan, kemunafikan, ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa, penganiayaan, ugutan dan segala bentuk kekejaman. Apa sudahnya kehidupan kita nanti.

Berhati-hatilah dengan setiap pemberitaan, buatlah semak silang, rajinlah mengkaji, singkaplah pengalaman dan sejarah. Gunalah alatan yang sama seperti yang digunakan oleh mereka, teknologi maklumat, dapatkan maklumat sebanyak mungkin dari pelbagai sumber, kerana setiap keputusan dan tindakan kita menyumbang samada kearah kemusnahan atau pemulihan. Jangan ditinggalkan Al-Quran, Hadis dan nasihat para ulama muktabar terdahulu.

Kita berhadapan dengan bencana yang diuli oleh tangan-tangan jijik dan kotor. Adakah kita diuji atau dihukum atas kealpaan kita selama ini? Kita masih dikasihani kerana berpeluang bertindak, lakukanlah dengan kejujuran dan keinsafan kerana kita tetap dihitung dan dipertanggungjawabkan atas setiap tindakan yang dibuat.

Akhir sekali gunalah akal yang waras dan sedikit keimanan yang ada dengan sebaik mungkin dan sesudah itu berdoa dan bertawakallah semoga kita semua dilindungi dan dipelihara Illahi.

Kita dan Mereka – coretan buat UMNO sebelum bersidang.

Dulu kitalah UMNO, tak kira berdaftar sebagai ahli atau tidak, cubit peha kiri peha kanan terasa juga. Ini yang dijiwai umat Melayu satu masa dahulu. Sekarang perasaan itu makin pudar. Ianya hampir tiada pada jiwa generasi muda Melayu.

Dulu, menghina UMNO bererti menghina Melayu, kita cukup terasa. Kita ikuti perhimpunan agungnya walaupun kita bukan ahli berdaftar. Sekarang orang Melayu hina UMNO.

Mereka akan bersidang lagi, PWTC akan bergegar, seolah-olah merekalah pembela Melayu, mereka yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi Islam, Melayu dan negara ini. Mereka akan berseloka, berpantun hinggalah ketahap  menjerit, menengking bak pahlawan Melayu dahulu kala, ada mengaku panglima bugis, ada mengaku pahlawan jawa, ada mengaku pendekar minang dan bermacam keperwiraan lagi.

AlWatan melihat fenomena ini berlaku sekarang. Pemimpin bahagian dan keatas sudah ber “kami” dengan ahli bawahan apatah lagi dengan yang bukan ahli. Kata mereka, bila “Kami” beritahu, “Kamu” mesti kena percaya. “Kami” akan perhatikan setiap gerak kamu. Mereka lupa yang mereka juga diperhatikan oleh “Kita”.

Kita telan cerita duit RM2.6B adalah derma, ya kami percaya. Kita juga tahu ada agihan kepada ketua-ketua bahagian. Lihatlah bagaimana ketua-ketua bahagian ini membelanjakan duit yang diagihkan. Ketua bahagian, set pol menteri, setiausaha sulit menteri bagai “raja-raja kecil” rasmi acara sana rasmi program sini, penuh bergaya. Apa pula manafaatnya kepada masyarakat Melayu? Adakah ia dapat menarik Melayu yang tidak menyokong kembali menyokong UMNO? Adakah dapat menarik Melayu atas pagar lompat kesebelah UMNO? Adakah dapat menarik Melayu yang menyokong parti-parti lain berubah menyokong UMNO? Adakah dapat memberi harapan kepada bukan Melayu untuk menerima UMNO menjadi pemimpin mereka? Pada pemerhatian AlWatan, jawapan kepada kesemua persoalan diatas adalah TIDAK.

Yang berlaku ialah beberapa kerat yang rapat dengan ketua bahagian berjoli sakan. Habuan diberi ikut siapa pengikut siapa. UMNO peringat bawahan berpecah belah. Natijahnya, kepimpinan peringkat cawangan yang terasa diri terpinggir mula bersuara. Maka berlakulah beberapa acara kenyataan akhbar. Bagi membendung segera keadaan ini, pengerusi JKKK dan JKKP dipanggil ke PWTC untuk dipujuk. Mereka ini kebanyakkannya adalah ketua-ketua kampung dan ketua-ketua cawangan. Lalu acara ikrar sokongan beramai-ramai dibuat dan ditayangkan seluruh Malaya. Selesaikah masalah?

Kami melihat UMNO nazak, kita tidak lagi bersama dan yang menyertai kami kian ramai, bertambah dari hari kehari.

Semoga kamu semua selamat bersidang di PAU yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

Jangan dipeduli kemana kami akan pergi…

Pilihan Buat Melayu – Najib atau Hadi.

PM Najib sedang diduga dengan hebat, beliau sedang dibicarakan di mahkamah rakyat. Malangnya, dari sudut pandang AlWatan, beliau didapati bersalah dan berada dizon merah dengan kemungkinan disingkir hampir nyata. Kesilapan beliau semenjak mula memegang tampuk pemerintahan dibongkar dan kesilapan baru terus beliau lakukan. Walaupun begitu, dalam tempuh tersebut ada beberapa kebaikan yang telah beliau laksanakan, namun tetap gagal disebarluaskan untuk memberi sedikit ruang kepadanya bertahan. Kenapa ini berlaku? Rumusan AlWatan adalah PM Najib kurang daya memimpin dan lebih buruk lagi beliau gagal memilih pembantu-pembantu yang mampu membantu beliau memimpin. Ketidakmampuan PM Najib berganda.
DS Hadi pula dilihat menang bergaya. Dalam keadaan ditekan teruk oleh penentangnya, beliau menanganinya dengan cermat. Memenangi jawatan Presiden Pas dalam suasana pertandingan yang sengit dengan jumlah undi yang meyakinkan memberi imej seorang pemimpin wibawa. Walaupun beliau terlibat dengan cubaan pembentukan “kerajaan perpaduan” nampaknya ia bukanlah perkara yang merisaukan perwakilan PAS, ianya juga tidak dianggap satu kesalahan. Kelembutan ini memperlihat keterbukaan PAS. Permusuhan UMNO PAS bukanlah ditahap berpatah arang. Kelantangan DS Hadi menghentam DAP mencairkan hati ramai Melayu. Apabila kita ada “musuh” yang sama, kita seakan bersama. Pasca muktamar akan melihat talibarut DAP akan diketepikan. PAS dibersihkan dan muncul parti yang lebih segar.
Perkembangan terkini dua parti Melayu terbesar menarik direnungi. Melayu berparti ada dalam UMNO dan PAS. Dalam parti-parti lain tidaklah begitu signifikan. Melayu atas pagar juga ramai. Sampai PRU 14 nanti mereka akan mengundi. Untuk masa sekarang AlWatan melihat DS Hadi akan menjadi rebutan kedua-dua kumpulan dalam UMNO yang sedang bertelagah. Nampaknya PAS dan DS Hadi lebih condong ke kumpulan Tun M. Atas pemerhatian itu, kemungkinan penasihat DS Najib akan cuba menjalin hubungan dengan kumpulan anti ulamak dalam PAS, yang sebenarnya orang-orang Anwar. Ini boleh diperhatikan jika Anwar dan konco-konconya mula mendapat “keistimewaan”.
Jika komplot ini berlaku dan diketahui umum kita akan menghadapi PRU14 lebih awal. Bersedialah umat Melayu untuk memilih antara Najib atau Hadi.

Melayu jadi Rohingya.

Rompin selesai, Permatang Pauh pun sudah, tapi Najib vs Mahathir belum selesai malah bertampah panas…Ia panas yang membakar, memusnah dan kemusnahannya kian merebak,..kita tak berapa kisah jika UMNO yang musnah terbakar, biarkan, biarkan,..yang kita kisah negara kita turut hangus sama, berserta kerajaan-kerajaan Melayu yang bersekutu membetuk persekutuan Malaysia…yang ini tak boleh dibiarkan, kerana jika hancur kerajaan Melayu ini maka tidak lama selepas itu pupuslah bangsa Melayu. Bersama hilangnya Semenanjung Tanah Melayu maka hilanglah juga Islam, agama yang dianuti oleh bangsa Melayu,

Nasib Melayu sama seperti Rohignya.

Telah sampai masa Melayu lupakan UMNO, jika Melayu dapat dipisahkan dari UMNO maka kemusnahan dapat dibendung setakat UMNO sahaja, biarkanlah UMNO dengan pilihan mereka, walaupun mereka juga Melayu.

GST baik tetapi gagal dilaksana dengan baik, walaupun dengan sokongan segala macam konsultan dan Pemandu berserta jemaah kabinet yang paling besar dengan paling ramainya menteri di JPM, perlaksanaan tunggang langgang…IMDB juga serupa..

Yang menyemarak bakarnya perasaan orang Melayu apabila Tabung Haji terpalit sama. Lalu timbul macai-macai yang cuba membela dengan teori-teori perniagaan mereka untuk menghalalkan tidakan yang jelas tak kena pada masa dan keadaan. Baru terbongkar pada khalayak yang pemegang jawatan pengarah syarikat dan entiti berkaitan kerajaan terdiri dari orang-orang yang sama, Yang duduk dalam lembaga pengarah LTH duduk juga dalam lembaga atau penasihat 1MDB. Tak hairan LTH telah membuat keputusan sebegitun rupa…

Menyeret Tabung Haji kedalam permasalahan 1MDB adalah kesilapan paling besar dan mungkin terakhir buat Najib…berundurlah sebelum perkara lebih buruk berlaku. Petunjuk sudah ada, seorang sultan telah bersuara tentang GST, bagaimana pandangan sultan-sultan yang lain apabila mengetahui LTH diheret sama dalam kemelut 1MDB? bukankan rakyat boleh bertemu sultan mereka untuk mengadu tentang masalah yang membelenggu tambahan pula ia berkaitan dengan agama Islam? Bukankan sultan-sultan bersama didalam “Majlis raja-raja” dimana termaktub dalam perlembagaan bidang kuasa mereka? Polis diraja Malaysia, tentera diraja Malaysia,…nampak tak “worse case scenario”…

Jadi, buat Najib, cukuplah, Melayu dah tak peduli anda dilambung oleh pemuda ke, ketua bahagian ke atau timbalan ketua bahagian,..UMNO dan Melayu telah terpisah…jika masih nak pegang semangat Bugis yang pantang undur kebelakang, jangan lupa ramai juga Bugis lain yang menentang dan mereka juga pantang undur kebelakang.. tak termasuk lagi Jawa, Mendeleng, Rawa, Banjar, Minang, Aceh, Pattani,

Harapan kepada UMNO

Masih bolehkah berharap kepada UMNO? Harapan yang akan dinukil ini tidak mewakili orang Melayu, tiada tapak untuk menuntut begitu, ianya cuma harapan AlWatan untuk dilontarkan buat pertimbangan UMNO dan orang Melayu.

UMNO perlu besar jiwanya, mempertahankan hak dengan tegas tapi sopan, berisi dan pasti, bukan berdegar-degar tapi kosong. UMNO perlu bersama orang melayu, bukan berada di kelompok luar dan melihat kepada orang Melayu sebagai kumpulan tolol yang perlu dipimpin dan dibantu serta dalam masa sama diperguna, diperbodoh untuk kepentingan kelompok UMNO sendiri.

Orang Melayu melihat pemimpin UMNO sebagai pemimpin Melayu, tapi itu dulu, sekarang orang Melayu mencari-cari pemimpin sebenar, sementara belum ada, UMNO jadi sandaran, jika kesedaran di pihak kelompok UMNO masih tiada, tidak mustahil dalam masa terdekat Melayu memandang kearah lain untuk mencari pemimpin. Siapa UMNO tanpa Melayu?…

AlWatan melihat kedudukan Melayu amat genting di bumi sendiri. Fahaman-fahaman tidak menentu diasak masuk dalam pemikiran Melayu dengan label-label liberalism, kesederhanaan, wasatiah, 1Malaysia dan macam-macam. Di kala yang sama orang bukan Melayu memperkukuhkan semangat perkauman mereka tetapi melabelkannya menggunakan label-label yang UMNO/pemerintah sendiri ciptakan. Dengan “1Malaysia” mereka meminta hak sama rata dan mengenepikan hak Melayu walaupun termaktub dalam perlembagaan, dengan “wasatiah” mereka menuntut kelebihan kepada agama-agama mereka sampai menuntut untuk dibolehkan murtad serta hak mereka untuk mendakyahkan agama mereka kepada umat Islam. UMNO diam, terkedu, membisu. Tiada “Jantan” untuk berkata tidak kepada yang tidak dan ya kepada yang ya. Tiada “cerdik” dalam berbahas berhujah, sekadar ugutan kosong penuh dengan amaran berdegar-degar.

AlWatan ingin melihat ada UMNO yang berkata asal Malaysia terdiri daripada negeri-negeri Melayu di semenanjung dan dua negeri kepulauan borneo yang digabung menjadi persekutuan Malaysia. Negeri-negeri Melayu itu adalah negeri Islam berdaulat. Fahami istilah negara persekutuan.

AlWAtan ingin melihat UMNO yang tegak mempertahankan Islam yang benar, dari musuh kafir atau anasir dalaman yang melihat Islam dari sudut sempit yang melemahkan Islam. Mengembalikan ihsan dalam ketegasan, berdakwah dan memyampaikan bukan bersifat permusuhan dan menekan. Kita gagal memperlihatkan syhumul Islam kepada mereka yang kafir, menolak mereka lebih jauh bukan merapatkan mereka kepada Islam. Dalam kita mempertahankan azan dilaungkan, patutkah ceramah agama didalam masjid dikuatkan sama seperti laungan azan?…

AlWatan ingin mendengar UMNO berkata “kita” dan bukan “rakyat” atau “Melayu” atau “bumiputera” apabila berbicara tentang Melayu. UMNO yang berani mengangkat dan memartabatkan bahasa dan budaya Melayu tanpa malu dan takut. Bukan yang bertutur bahasa asing di buminya sendiri dan bermegah dengan pencemaran bahasa dan budayanya. Bukan mereka yang dengan suka tanpa rasa bersalah mencedok perkataan asing dalam ucapan rasmi apatah lagi membiarkan bahasa kebangsaan dipinggirkan dalam setiap cabang penyiaran.

AlWatan ingin melihat UMNO yang mendahulukan Melayu dari UMNO, yang adil dalam mengagih hak bukan yang mengambil kesempatan dari hak Melayu untuk segelintir UMNO. Hak-hak Melayu yang masih ada mesti dipertahankan, tanah rezab Melayu, keistimewaan jawatan pentadbiran kerajaan, keistimewaan pendidikan, keistimewaan agihan lesen dan permit perniagaan mesti dipertahankan. Akta 15, 152, dan 153 perlu kekal.

Inilah harapan yang ingin disampaikan, agar dapat dipertimbangkan UMNO kerana dalam masa yang sama orang Melayu dilihat sedang buat pertimbangan.