Hari Raya, Suabali dan gajah mengamuk.

Hari Raya sudah selamat, hari ini hari ke7 bulan Syawal, Selamat Hari Raya, Salam 0-0, yang kosong adalah ucap selamat hari raya itu. Yang berisi adalah doa kepada sesama kita agar ibadah diterima dan hidup diberkati.

Dimana-mana kesempatan berhari raya digunakan untuk menganjurkan “RU” reunion. Apa perkataan melayu yang sesuai agaknya? “Suabali” untuk bersua kembali? Kita makin tribal, berpuak-puak. Mengunakan sentimen nostalgik kawan-kawan sepersekolahan atau sekampong, kita adakan “circle” dan “group” sendiri yang esklusif melalui facebook, WhatsApp dan sebagainya. Bila berkesempatan “suabali” dianjurkan.

Telah ada yang terbau peluang, terutama orang politik dan berniaga. Ini bentuk network baru, yang lebih boleh diharapkan, dipercayai, senang kira, boleh kawtim, sama-sama makan, tak tikam belakang.

AlWatan melihat ini sebagai satu ancaman, kita akan jadi “tribal fanatic” lalu ujud tribal heads dan warriors. Di masa orang lain bersatu untuk melemahkan dan memijak kepala kita, kita pula berpecah-pecah kepada puak-puak kecil yang saling berebut, mementingkan puak sendiri dan bertelagah.

Gajah mengamuk di jalanraya Grik. Ini berita tersebar dalam Whatsapp pada Raya ke-4. Kereta dirosakkan dan ada yang terbunuh. Entah kenapa, tiada berita ini  di saluran-saluran TV atau akhbar. Ramai yang “copy paste” dan “forward” berita itu. Mungkin atas rasa bertanggungjawab terhadap ahli “tribe” atau rasa bangga ada sumber maklumat yang lebih cepat dan tepat berbanding  ahli tribe yang lain hanya tuan tubuh yang tahu. Ada yang  catitkan “copy dari group lain” untuk cover malu jika berita itu palsu.

Harap-harap sempena Syawal tahun ini kita belajar lebih mengenali alam siber supaya tidak diperbodohkan dan lebih bodoh lagi apabila dilihat bodoh oleh kaum sama “tribe” dengan kita. Nak jadi tribal head kena pandai jaga kebodohan agar tidak terserlah dikhalayak tribe apatah lagi kepada tribal community yang lain. Salam Syawal 1436.

Advertisements

Catatan percutian – Pulau Pangkor.

     Dulu-dulu naik feri ke Pangkor melalui jeti di Lumut, kali ini naik melalui jeti baru di Marina Island. Marina ini tak ada kena mengena dengan anak Tun M. Marina Island macam pulau buatan yang ditambak. Terletak ke hadapan sedikit dari simpang ke Teluk Batik, senibina bandar yang menarik dan bercita-cita besar, masih dalam pembangunan, terdapat kedai-kedai yang telah siap tetapi terlalu kurang yang memulakan perniagaan. Jetinya juga cantik, moden, dan bersih. Dari Lumut ambil masa lebih kurang 40 min, dari sini cuma sekitar 10 min. Hari ini pelancong tidak begitu ramai, atau kekerapan feri menyebabkan tiada ramai yang menunggu? Bagus, selesa.

     Tiba di jeti Pulau Pangkor, berjalan menuju ke pintu keluar, lorong pejalan kaki dipenuhi “ulat-ulat” kereta sewa haram dan motosikal sewa haram. Mereka berasak-asak berebut menawarkan perkhidmatan, masing-masing kasar dan ganas macam samseng. Melepasi mereka baru terjumpa para pemandu teksi yang berbaju seragam. Teksi disini adalah van-van yang diwarnakan merah jambu, rasanya dulu tentu cantik tapi sekarang dah usang dan buruk. Satu teksi boleh memuatkan 10 orang.

     Sewa sebuah teksi menuju ke Coral Beach. Dalam perjalanan berbual dengan pemandu teksi, seorang India. Cerita yang diperolehi adalah suara kecewa seorang anak tempatan. Sudah beberapa kali pemandu-pemandu teksi  berpiket menentang keujudan teksi-teksi haram yang bermaharaja lela, tiada mendatangkan apa-apa kesan. Ada pernah SPAD datang berkampung dua-tiga hari sekadar duduk makan angin, kerana pegawainya memberitahu bahawa mereka tiada kuasa untuk ambil tindakan. Habis tu kenapa datang?, adu pemandu teksi itu, kecewa. Mereka dah tak mau buat aduan dan mereka dah tak mau berpiket, mereka cuma tunggu satu letusan untuk “berperang” dengan musuh yang menganggu periuk nasi mereka, di Pangkor tiada penguatkuasaan, tiada kerajaan, tiada pemerintah.

     Dari kacamata seorang pelancong, Pulau Pangkor pulau anarki, samseng dan penjenayah berebut –rebut mencari pelanggan (mangsa), ganggu keselesaan di waktu ketibaan lagi, mana pengalaman pertama yang indah waktu menjejak kaki ke pulau indah ini? Apa kata berlaku kemalangan kereta sewa haram yang melibatkan pelancong tempatan, mungkin boleh sorok, ugut, bayar dan sebagainya, tapi kalau yang terlibat pelancong asing dari negara”tuan” seperti Singapura atau Amerika. Apa agaknya kerajaan Zambery dan Najib nak jawab? Bayar pampasan juta-juta?

     Sampai di chalet yang ditempah, disambut dengan beruk yang berkeliaran. Chelet yang dilengkapi dengan pendingin hawa yang langsung tidak mendinginkan. Tiada peti sejuk, umpan pancing yang dibawa perlu diselamatkan. Pinjam kereta dan berkejar ke pekan untuk membeli ais ketul dan nasi bungkus, chalet tidak ada restoran, berdekatan pun tiada kedai makan.  Keadaan keseluruhan mengecewakan, kawasan tidak terjaga, surau usang, sampah bertaburan dikerjakan sang beruk. Kalau diberikan kepada pengusaha asing sudah tentu dapat diperelokkan dan dimajukan buat tempat hiburan mabuk-mabuk, perempuan jalang, judi dan sealiran dengannya. Betul ke tanpa itu semua tempat peranginan tidak boleh maju?

     Atau pengusaha itu dunggu, harap dibantu,  ambil kesempatan bantuan atas dasar kenalan, orang dalam dan berkepentingan. Peluang usahawan yang benar-benar berharap, mampu, kreatif dan berdaya saing dirampas, digagahi dalam serba kekurangan pengetahuan, kemahiran, dan kesungguhan. Akhirnya kawasan tidak terjaga, terbengkalai, terbiar, beruk-beruk berkeliaran, pelawat jadi keliru, yang mengusahakan chalet ni manusia ke beruk.

     Sewa kayak, berkayak kepulau kecil dimana ramai datang untuk “snorkeling”, sedih, macam menyelam tembak ikan di lombong sewaktu kecil dulu, dua tiga ekor anak ikan, pasir dan batu. Tiada ikan karang yang berwarna warni, tiada karang yang pelbagai bentuk, tiada kerang, siput dan tapak sulaiman, tiada kerapu hodoh yang besar, tiada…

     Disapa pelancong asing “ Nice beach, what’s the name?..jawab “Coral Beach”..pelancong “Nice name, what you call it in you language then?”…jawab “same, Coral Beach”…pelancong “Oh,..over there Marina Island, here Coral Beach, what’s the common language use here?”…jawab “ eerrr,.. bahasa Melayu”…pelancong “Ohhh..nice meeting you, terima kasih”…jawab “same-same to you”…

     Di hujung pesisiran pantai Coral Beach terbina sebuah tokong Cina, seingat-ingat dulu tiada atau mungkin kecil saja tidak se gah sekarang. Ada binaan arca dan patung dan bangunan pemujaan menjalar ke tanah tinggi di belakangnya. Apakah tidak lama lagi seluruh bukit akan jadi kawasan tokong hingga ada jeti khas di gigi pantai untuk kemudahan pelawatnya? …tiada yang mustahil di pulau anarki…

     Sehari semalam sudah cukup, daftar keluar di pondok pejabat chalet yang usang dan berselerak. Selesai, kelihatan beberapa orang pekerja warga asing bergerak menuju ke chalet-chelet yang dikosongkan pelawat, agaknya untuk membuat kerja pembersihan dan kemasan semula bagi penghuni berikutnya, maklumlah cuti sekolah, tentunya tempahannya penuh, tambahan pula kalau carian dibuat melealui internet. Malangnya indah khabar internet dari rupa. Minta tolong penyambut tetamu merangkap juruwang merangkap pengurus operasi merangkap satu-satunya pekerja tempatan yang kelihatan untuk panggilkan teksi. Teksi datang hampir sejam kemudian. Cadangan awal untuk singgah beli-belah di pekan Pangkor dibatalkan. Terus ke jeti.

     Beratur panjang, tak tau mana lorong untuk naik feri ke Marina Island dan yang mana untuk ke Lumut. Di sebelah sana dua jeti, disini satu. Panjang dan menyesakkan. Ditambah dengan muka-muka samseng yang berasak-asak juga menawarkan kereta sewa dan motorsikal sewa kepada pelancong yang baru tiba. Wajah-wajah kecewa pelancong yang hendak keluar dengan keluhan keletihan menghilangkan selera untuk berbual. Ramai yang berdiam termenung melayan angan-angan, suram tiada keceriaan. Barisan yang beratur masih panjang. Bergerak sikit-sikit kehadapan ,tarik beg, berhenti, berdiri termenung, tarik beg lagi, berhenti lagi, termenung lagi, sampailah ke feri. Nasib baik pelayaran balek 10 min sahaja.

     Keluar saja dari feri di Marina Island terus menuju lapangan letak kereta, masuk dalam kereta rasa macam nak pergi rumah MB, rasa macam nak pergi rumah menteri pelancongan yang kebetulan asal Perak juga, nak pergi pejabat SPAD, nak pegi pejabat JPJ, nak pergi Bukit Aman, nak pergi SPRM, akhirnya, dalam berangan-angan dah sampai rumah…tak perlulah kemana-mana, sia-sia saja lebih baik tidor hilangkan keletihan, esok nak kerja semula…