Mari fahami perkataan bahasa “Malaisia”

Perkataan “macai” dipendekkan dari “malai chai”. “chai” bererti budak, Dari segi maknanya adalah budak suruhan. Kepada sesetengah “orang Malaisia” taraf Melayu ni setakat budak suruhan saja. Secara manis dihadapan khalayak macai akan dipanggil sebagai “personal assistant” tetapi sebenarnya sekadar budak suruhan untuk hantar surat atau barang yang tidak boleh dipercayai dan tak ada masa depan.

Perkataan seterusnya, “Amad” bermakna pemandu peribadi atau budak suruhan peribadi. Ia berbeza dengan “macai” yang bersifat am. Amad lebih spesifik hanya menjadi budak suruhan dan pemandu kepada seorang “taukey”. Ia menjadi kebanggaan taukey kepada rakan-rakan lain jika memiliki “amad”, tambahan lagi jika “amad” itu kelihatan patuh dan takut kepada taukeynya. Kesetiaan tak perlu kerana taukey tak pernah akan percaya kepada “amad”nya.

Sempena Ramadhan, marilah kita tingkatkan martabat dan maruah agama dan bangsa. Selamat berpuasa.

Hari Raya, Suabali dan gajah mengamuk.

Hari Raya sudah selamat, hari ini hari ke7 bulan Syawal, Selamat Hari Raya, Salam 0-0, yang kosong adalah ucap selamat hari raya itu. Yang berisi adalah doa kepada sesama kita agar ibadah diterima dan hidup diberkati.

Dimana-mana kesempatan berhari raya digunakan untuk menganjurkan “RU” reunion. Apa perkataan melayu yang sesuai agaknya? “Suabali” untuk bersua kembali? Kita makin tribal, berpuak-puak. Mengunakan sentimen nostalgik kawan-kawan sepersekolahan atau sekampong, kita adakan “circle” dan “group” sendiri yang esklusif melalui facebook, WhatsApp dan sebagainya. Bila berkesempatan “suabali” dianjurkan.

Telah ada yang terbau peluang, terutama orang politik dan berniaga. Ini bentuk network baru, yang lebih boleh diharapkan, dipercayai, senang kira, boleh kawtim, sama-sama makan, tak tikam belakang.

AlWatan melihat ini sebagai satu ancaman, kita akan jadi “tribal fanatic” lalu ujud tribal heads dan warriors. Di masa orang lain bersatu untuk melemahkan dan memijak kepala kita, kita pula berpecah-pecah kepada puak-puak kecil yang saling berebut, mementingkan puak sendiri dan bertelagah.

Gajah mengamuk di jalanraya Grik. Ini berita tersebar dalam Whatsapp pada Raya ke-4. Kereta dirosakkan dan ada yang terbunuh. Entah kenapa, tiada berita ini  di saluran-saluran TV atau akhbar. Ramai yang “copy paste” dan “forward” berita itu. Mungkin atas rasa bertanggungjawab terhadap ahli “tribe” atau rasa bangga ada sumber maklumat yang lebih cepat dan tepat berbanding  ahli tribe yang lain hanya tuan tubuh yang tahu. Ada yang  catitkan “copy dari group lain” untuk cover malu jika berita itu palsu.

Harap-harap sempena Syawal tahun ini kita belajar lebih mengenali alam siber supaya tidak diperbodohkan dan lebih bodoh lagi apabila dilihat bodoh oleh kaum sama “tribe” dengan kita. Nak jadi tribal head kena pandai jaga kebodohan agar tidak terserlah dikhalayak tribe apatah lagi kepada tribal community yang lain. Salam Syawal 1436.

Harapan kepada UMNO

Masih bolehkah berharap kepada UMNO? Harapan yang akan dinukil ini tidak mewakili orang Melayu, tiada tapak untuk menuntut begitu, ianya cuma harapan AlWatan untuk dilontarkan buat pertimbangan UMNO dan orang Melayu.

UMNO perlu besar jiwanya, mempertahankan hak dengan tegas tapi sopan, berisi dan pasti, bukan berdegar-degar tapi kosong. UMNO perlu bersama orang melayu, bukan berada di kelompok luar dan melihat kepada orang Melayu sebagai kumpulan tolol yang perlu dipimpin dan dibantu serta dalam masa sama diperguna, diperbodoh untuk kepentingan kelompok UMNO sendiri.

Orang Melayu melihat pemimpin UMNO sebagai pemimpin Melayu, tapi itu dulu, sekarang orang Melayu mencari-cari pemimpin sebenar, sementara belum ada, UMNO jadi sandaran, jika kesedaran di pihak kelompok UMNO masih tiada, tidak mustahil dalam masa terdekat Melayu memandang kearah lain untuk mencari pemimpin. Siapa UMNO tanpa Melayu?…

AlWatan melihat kedudukan Melayu amat genting di bumi sendiri. Fahaman-fahaman tidak menentu diasak masuk dalam pemikiran Melayu dengan label-label liberalism, kesederhanaan, wasatiah, 1Malaysia dan macam-macam. Di kala yang sama orang bukan Melayu memperkukuhkan semangat perkauman mereka tetapi melabelkannya menggunakan label-label yang UMNO/pemerintah sendiri ciptakan. Dengan “1Malaysia” mereka meminta hak sama rata dan mengenepikan hak Melayu walaupun termaktub dalam perlembagaan, dengan “wasatiah” mereka menuntut kelebihan kepada agama-agama mereka sampai menuntut untuk dibolehkan murtad serta hak mereka untuk mendakyahkan agama mereka kepada umat Islam. UMNO diam, terkedu, membisu. Tiada “Jantan” untuk berkata tidak kepada yang tidak dan ya kepada yang ya. Tiada “cerdik” dalam berbahas berhujah, sekadar ugutan kosong penuh dengan amaran berdegar-degar.

AlWatan ingin melihat ada UMNO yang berkata asal Malaysia terdiri daripada negeri-negeri Melayu di semenanjung dan dua negeri kepulauan borneo yang digabung menjadi persekutuan Malaysia. Negeri-negeri Melayu itu adalah negeri Islam berdaulat. Fahami istilah negara persekutuan.

AlWAtan ingin melihat UMNO yang tegak mempertahankan Islam yang benar, dari musuh kafir atau anasir dalaman yang melihat Islam dari sudut sempit yang melemahkan Islam. Mengembalikan ihsan dalam ketegasan, berdakwah dan memyampaikan bukan bersifat permusuhan dan menekan. Kita gagal memperlihatkan syhumul Islam kepada mereka yang kafir, menolak mereka lebih jauh bukan merapatkan mereka kepada Islam. Dalam kita mempertahankan azan dilaungkan, patutkah ceramah agama didalam masjid dikuatkan sama seperti laungan azan?…

AlWatan ingin mendengar UMNO berkata “kita” dan bukan “rakyat” atau “Melayu” atau “bumiputera” apabila berbicara tentang Melayu. UMNO yang berani mengangkat dan memartabatkan bahasa dan budaya Melayu tanpa malu dan takut. Bukan yang bertutur bahasa asing di buminya sendiri dan bermegah dengan pencemaran bahasa dan budayanya. Bukan mereka yang dengan suka tanpa rasa bersalah mencedok perkataan asing dalam ucapan rasmi apatah lagi membiarkan bahasa kebangsaan dipinggirkan dalam setiap cabang penyiaran.

AlWatan ingin melihat UMNO yang mendahulukan Melayu dari UMNO, yang adil dalam mengagih hak bukan yang mengambil kesempatan dari hak Melayu untuk segelintir UMNO. Hak-hak Melayu yang masih ada mesti dipertahankan, tanah rezab Melayu, keistimewaan jawatan pentadbiran kerajaan, keistimewaan pendidikan, keistimewaan agihan lesen dan permit perniagaan mesti dipertahankan. Akta 15, 152, dan 153 perlu kekal.

Inilah harapan yang ingin disampaikan, agar dapat dipertimbangkan UMNO kerana dalam masa yang sama orang Melayu dilihat sedang buat pertimbangan.

Kisah sebuah pelayaran

Kemudi tak patah, bahtera hilang arah…kelasi kata nakhoda yang salah, nakhoda kata angin bertukar arah…

Geladak dah kosong tikus kekenyangan, kelasi mendongak menadah hujan…

Bahtera hanyut belum karam, nakhoda asyik merenung bintang, terumbu di depan disangka awan, jerung tersenyum disangka kawan…

Sauh besar tak cukup panjang, gah di luan dasar tak kesampaian…

Inklusif carca-merba – Kemudi tak patah, bahtera hilang arah?

     Tahap mana inklusif kerajaan nak capai? Bukankah demokrasi itu inklusif sifatnya bila rakyat dewasa dibenarkan memilih kerajaan yang memerintah? Apabila sudah terpilih mengikut keputusan suara ramai maka kerajaan itu diberi mandat mentadbir negara. Dalam membentuk satu pasukan pentadbiran, bidang tugas dan tanggungjawab diperjelas lalu diujudkan kementerian-kementerian. Semua yang terlibat dalam pentadbiran perlu menjalankan tugas dengan berkesan dan bertanggungjawab serta boleh memberi penjelasan dan fakta apabila sebarang tindakan dan keputusan dipersoalkan. Perlu ada kretaria-kretaria jelas dan objektif dalam membuat penilaian, perlu ada fakta-fakta dari kajian sebelum sesuatu keputusan dibuat. Jika tidak mampu menjalankan tugas, jawatan berkenaan perlu dikosongkan dan diganti dengan calon yang lebih layak dan mampu melaksanakannya.

     Jangan menggunakan alasan inklusif untuk memperbanyakkan jawatan hingga menyebabkan pertindihan tugas dan tanggungjawab. Selain pembaziran wang penggajian, upah dan elaun ia juga merosakkan struktur organisasi dan menyebabkan pertindihan kuasa dan kecelaruan.

     Kabinet besar bilangannya. Bukan pada menteri di kementerian-kementerian tetapi kepada bilangan menteri dan timbalan menteri di jabatan perdana menteri. Apa fungsi dan bidang tugas mereka? Lapan orang menteri dan dua orang timbalan menteri di jabatan perdana menteri. Kabinet sebelumnya, enam menteri dan lima timbalan menteri. Beberapa kementerian juga mempunyai dua timbalan menteri. Bolehkah fungsi mereka diperjelaskan?

     Terdapat beberapa lantikan penasihat bertaraf menteri kepada perdana menteri seperti pelancungan dan wanita sedangkan kementerian khusus ada dan menteri serta timbalan menterinya juga telah sedia ada?

     Bagaimana pula dengan unit-unit khas yang ditubuhkan seperti MAMPU, ICU dan pelbagai lagi. Apa fungsi PEMANDU? Setelah ada PEMANDU kenapa dilantik lagi syarikat-syarikat perunding swasta?

     Perbelanjaan RM720 juta kepada syarikat perunding swasta dipersoalkan banyak pihak. Ianya dilakukan dalam pelbagai bentuk, teguran, kritikan, sindiran dan kutukan. Belum ada jawapan secara objektif terhadap tujuan dan hasil.

     Dengan begitu banyak unit-unit, penasihat-penasihat dan konsultan-konsultan, kerajaan masih gagal menangani tanggapan “tidak betul” masyarakat. Adakah kerajaan tidak sedar akan keujudan tanggapan (persepsi) buruk ini? Mustahil. Adakah kerajaan tidak mampu menanganinya? Mungkin. Ataukah ianya bukan sekadar tanggapan tetapi sememangnya kebenaran (realiti).

     Seperti sebuah pelayaran, kemudi tak patah tetapi bahtera hilang arah. Sampai ketikanya, perlu diputuskan juga, nakhoda atau bahtera dan masanya sudah suntuk sebenarnya…

Siri 3 : Menilai tindakan dan kepimpinan Melayu.

Pemimpin yang berkaliber adalah pemimpin yang dapat membuat keputusan dengan tepat. Untuk membuat keputusan yang tepat, maklumat lengkap dan betul perlu diperolehi. Cara bagaimana maklumat itu dianalisa akan memberikan keputusan yang berbeza. Disinilah perbezaan ketara kemampuan yang membezakan seseorang pemimpin yang cedik dan yang lembab. Tindakan diambil hasil dari keputusan yang telah dibuat dan seterusnya hasil yang diperolehi akan menjadi bukti kemampuan sorang pemimpin itu.

Pengikut menilai pemimpin, dengan menganalisa  maklumat yang diperolehi dan kemudiannya membuat senarai pilihan keputusan. Senarainya mungkin samada kekal setiakepada pemimpin atau pemimpin ditegur dan diberi peluang atau pemimpin ditinggalkan atau pemimpin dijatuhkan kerana boleh menyebabkan kerosakan lebih besar jika dibiarkan.

Apa yang diperlukan sekarang adalah maklumat yang tepat. Pemimpin wajib menyalurkan maklumat tepat kepada pengikutnya supaya pengikut dapat menilai. Dalam masa yang sama juga maklumat boleh sampai kepada pengikut dari pelbagai sumber. Antaranya fitnah pihak lawan, pemerhatian pihak ketiga dan pemerhatian pengikut itu sendiri.

Dalam sistem siasah negara, pilihanraya membolehkan rakyat memilih wakil mereka ke dewan undangan negeri dan parlimen. Sepatutnya rakyat perlu ada senarai krateria untuk mencatit pencapaian pemimpin-pemimpin ini. Senarai ini perlu merangkumi semua perkara penting misalnya untuk keagamaan, apa yang kita harapkan dari pemimpin tersebut? Misalnya pernah nampak kelibat ke masjid dan tak pernah nampak kelibat sedang tonggang arak. Untuk bangsa pula apakah yang perlu ada pada seorang pemimpin tersebut dan untuk tanahair pula apakah tahap rasa cinta dan pengorbanan pemimpin tersebut terhadap negara ini.

Sebagai contoh, kepada para pemimpin yang menyatakan sistem pendidikan kita adalah yang terbaik, tanyakan kepada pemimpin itu dimana anak-anaknya bersekolah? Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Antarabangsa atau di luar negara?.

Kepada pemimpin yang mengaku mereka cukup Melayu, tanyakan apa mereka lakukan apabila nama-mana agensi kerajaan, acara-acara kerajaan dan ucapan pemimpin dihadapan rakyat negara sendiri pun menggunakan bahasa Inggeris, RTC tu apa?

Tanya juga kepada mereka tahap penguasaan bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris antara anak-anak mereka berbanding anak-anak kita, yang kita bersungguh-sungguh membantah pengajaran Metamatik dan Sains dalam bahasa inggeris satu ketika dulu. Sakarang, dalam ledakan teknologi maklumat, dengan blog, facebook, twitter dan sebagainya, kita ditertawakan dan dipermainkan kerana tidak tahu bahasa inggeris, dulu LGE kata melayu tak faham bahasa inggeris dan salah tafsir kata-kata dia, sekarang ni Karpal pula kata yang sama. Memang pun kita tidak mahir bahasa inggeris. Ini terbukti bila perumpamaan inggeris yang di tulis oleh Tun M tidak difahami oleh segolongan orang lantas menghukum Tun M yang bukan-bukan.

Siri 2 : Transformasi inklusif atau esklusif?

     Transformasi Melayu adalah bagi menjamin kelangsungan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air bukan kelangsungan mana-mana parti siasah yang kononnya memperjuangkan agama bangsa dan negara. Parti siasah adalah alat kearah perjuangan tersebut. Jika halatuju mana-mana parti siasah itu diatas landasan yang sama, maka parti tersebut patut disokong tetapi jika halatuju, tindakan dan transformasi yang hendak dilakukan akan merugikan agama, bangsa dan negara maka ianya wajib ditentang. Dimana UMNO sekarang, selepas PRU13 dan PAU yang lepas? 

Adakah UMNO cukup inklusif ( mengambil kira keseluruhan) seperti yang digembar-gemburkan oleh pemimpin tertingginya atau semakin esklusif (menghadkan penglibatan) orang Melayu?

Adakah penentuan calon semasa PRU13 dan pemilihan pemimpin-pemimpin dalam PAU itu bersifat inklusif atau esklusif dari konteks hasrat orang Melayu? Sudah tentu pemilihan dilakukan oleh semua ahli UMNO. Adakah ahli UMNO menimbang kecenderungan orang Melayu semasa memilih pemimpin mereka?

Adakah tindakan-tindakan pemerintah BN/UMNO sekarang mengambilkira perasaan dan kehendak orang Melayu? Ini semua perkara yang perlu dipertimbangkan untuk kenalpasti keadaan semasa sebelum merancang tindakan perubahan.

Dalam keadaan sekarang, tindakan yang paling sesuai adalah menilai sesuatu perkara atas dasar kepentingan kepada agama Islam bangsa Melayu dan negara tanpa mengira ianya didokong atau diperjuangkan oleh mana-mana kumpulan, NGO atau parti siasah. Jika tindakan sebegini dapat dilakukan secara bersepadu maka parti-parti siasah, samada pemerintah atau pembangkang akan menimbang tindakan mereka bagi menarik sokongan orang Melayu. Parti-parti siasah akan disedarkan yang orang Melayu menyokong tidak berdasarkan parti tetapi berdasarkan isu yang dibangkitkan.

Menyokong atau menentang mana-mana parti siasah dalam apa-apa isu semasa tidak bermakna akan tetap menyokong atau menentang parti tersebut sewaktu pilihanraya. Keadaan ini akan mengujudkan satu kelompok Melayu yang lebih bebas dalam menentukan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air terus dipertahankan.

Inilah tranformasi Melayu bagi menangani momokan inklusif dan esklusif oleh parti-parti siasah yang ada.

Sebagai parti yang memerintah, BN/UMNO tidak boleh lagi melakukan sesuatu yang merugikan orang Melayu dan mengharap orang Melayu menyokongnya tanpa soal dan bangkangan.

Kesimpulannya, menyokong dan menentang sesuatu isu hendaklah berdasarkan kepentingan bukan kerana kumpulan atau parti siasah yang membawa isu tersebut. Apakah transformasi pertama ini boleh berlaku?

Selanjutnya,..Transformasi dalam menilai tindakan dan kepimpinan,..Siri 3.

Transformasi UMNO dan transformasi Melayu.

Orang Melayu perlu sedar yang UMNO sekarang melalui proses transformasi. Transformasi bermakna satu proses perubahan yang mendalam dan bersungguh bagi merubah dasar dan halatuju dengan harapan kepada satu tahap keberkesanan yang berbeza.

Selepas sedar yang transformasi dalam UMNO itu sebenarnya sedang berlaku, Melayu juga perlu sedar bentuk transformasi itu dan matlamat yang hendak dicapai. Apabila pemahaman yang jelas melalui pemerhatian dan pertimbangan waras diperolehi, Melayu berhak memilih samada bersama UMNO mendokong transformasi tersebut atau menolaknya.

Bagaimana memahami transformasi tersebut? Melayu perlu melihat kepada tindakan bukan kata-kata. Tindakan pemimpin-pemimpin UMNO dan pihak-pihak yang memperolehi kuasa dari UMNO.

Nilaikan dasar-dasar yang dibuat, perjalanan PRU 13, dan PAU 2013 adalah petunjuk-petunjuk jelas. Seterusnya bagaimana UMNO sebagai peneraju kerajaan menangani isu-isu semasa, pengawalan terhadap GLC-GLC, ketegasan mempertahankan agama Islam, kesungguhan memartabatkan ekonomi, budaya dan bahasa Melayu dan melindungi maruah negara berdaulat. Sekali lagi jangan dengar ucapan, kata-kata, kertas kerja, perancangan atau lain-lain retorik. Nilaikan pelaksanaan dalam bentuk tindakan yang diambil dan keberkesanannya.

Menerimanya mudah, terus berikan sokongan. Penolakan pula boleh berlaku dalam dua bentuk. Pertama menentang transformasi tersebut dari berlaku dalam UMNO. Ini hanya boleh dilakukan oleh ahli-ahli UMNO. Melayu luar UMNO tidak berupaya melakukannya. Penolakan bentuk kedua adalah dengan menolak UMNO. Ini bermakna Melayu bukan ahli UMNO tidak lagi menyokong UMNO dan Melayu dalam UMNO keluar dari UMNO. Tidak menyokong UMNO tidak bererti menyokong parti lain. Perkara ini perlu jelas. Jangan terpedaya dengan momokan parti-parti politik.

Seorang Melayu boleh untuk tidak menyokong mana-mana parti. Melayu sebegini tetap berhak mengundi sewaktu pilihanraya. Ada parti politik yang mempunyai tidak begitu ramai ahli tetapi mendapat undi yang banyak semasa pilihanraya dan ada parti yang kononnya gah dengan bilangan ahli yang ramai tetapi apabila dianalisa peti-peti undi didapati ada berlaku ahli sendiri tidak undi parti berkenaan. Sekali lagi Melayu kena sedar kenyataan ini. BN adalah sebuah parti politik gabungan. Adakah semua ahli parti-parti gabungan tersebut mengundi BN dalam PRU13 yang lalu?

Jadi, bagaimana perlu bertindak sekarang dan bagaimana untuk mengundi sewaktu PRK atau PRU nanti?

..bersambung..siri 2

Conggak Politik UMNO semasa PAU

     Jika MM mampu menang dia tiada pilihan selain team up dengan MY kerana NR dah team-up dgn KJ dan SJ. Sekarang NR akan pastikan MM kalah kerana dia tahu dia akan ada masalah jika MM menang dan team-up dgn MY.
JikaJika MM mampu menang dia tiada pilihan selain team up dengan MY kerana NR dah team-up dgn KJ dan SJ. Sekarang NR akan pastikan MM kalah kerana dia tahu dia akan ada masalah jika MM menang dan team-up dgn MY.

     Jika MM menang, lagi dua NP ada bargaining power,kalau duit jadi pertimbangan, masuk team NR, tapi kalau perjuangan diutamakan, masuk team MY. Kalau team MY kuat, NR perlu di cantas sebelum PRU 14 untuk pastikan UMNO/Melayu kekal berkuasa.

     Jika NR gagal dicantas, KJ dan SJ akan bermaharajalela ditambah pula kalau HH juga menang, Melayu akan marah dan kuburkan UMNO kerana menjelang PRU14 akan muncul parti baru membawa panji-panji alif, ba, ta.

     Para perwakilan buatlah pilihan, kemenangan SJ dan KJ telah membusukkan UMNO, halangan senyap NR, SJ dan KJ terhadap MM telah membenih kebencian Melayu terhadap UMNO.

     Pilih, jangan tak pilih, kemudian mendabik dadalah kepada semua bahawa UMNO parti paling kuat yang tak perlukan orang Melayu luar.

     Sesungguhnya kebencian aku kepada UMNO dah semakin meluap….

Setelah KJ menang.

     Mengetahui keputusan pemilihan untuk ketua pemuda dan wanita UMNO cukup memberi kesan mendalam dalam diri aku. Tiada lagi UMNO yang dulu. Jadi tidak perlu ada UMNO sekarang di hati aku lagi.  

     UMNO yang berbangga ada 3.5 juta ahli sudah kekurang seorang ahlinya. Sudah tentu ia bukan masalah buat UMNO.

     UMNO sekarang adalah yang berada di tengah tidak lagi berhaluan kanan, UMNO sekarang progresif, ini kata ketua pemudanya selepas menang. Dia akan terus memacu UMNO kearah itu dengan sokongan bala tenteranya. Golongan konservatif telah tiada, 0. Dia dipilih oleh setiap bahagian. Melayu mudah lupa, mereka yang memilihnya adalah orang yang sama yang berteriak “rasuah” dan “booo”, dialah yang didapati bersalah “politik wang” pada tahun 2009. Bukan lama, baru 4 tahun. Dalam masa 4 tahun itu apa perubahan drastik dan “taubat” si Ketua Pemuda lakukan untuk agama, bangsa dan tanahair hingga dia diterima sepenuh hati kali ini? Bukan menafikan kemenangannya yang dijangka itu tetapi kemenangan besar tanpa saingan itu amat mengecewakan. Ia mengambarkan akal budi pemuda yang bakal mewarisi kepimpinan UMNO satu hari nanti

     UMNO cuma wadah siasah orang Melayu pertahankan agama, bangsa dan tanahairnya. Pada aku UMNO konservatif pada perjuanganya. Jadi jika UMNO hendak di progresifkan, tambahan pula dengan kecenderungan liberalnya, maka ia bukan lagi UMNO asal.

     Aku berharap akan ada wadah baru bagi aku yang konservatif dalam mempertahan agama, bangsa dan tanahair bersama mereka yang sealiran dengan aku untuk bersama meneruskan perjuangan ini. Ia perlu disegerakan seawal mungkin sebelum PRU14. Jika terlewat, kita mungkin hilang ketiga-tiganya.

     Yang tinggal adalah UMNO progresif dan liberal yang mendukung 1Malaysia tanpa Islam Melayu dan tanah Melayu lagi.