Harapan kepada UMNO

Masih bolehkah berharap kepada UMNO? Harapan yang akan dinukil ini tidak mewakili orang Melayu, tiada tapak untuk menuntut begitu, ianya cuma harapan AlWatan untuk dilontarkan buat pertimbangan UMNO dan orang Melayu.

UMNO perlu besar jiwanya, mempertahankan hak dengan tegas tapi sopan, berisi dan pasti, bukan berdegar-degar tapi kosong. UMNO perlu bersama orang melayu, bukan berada di kelompok luar dan melihat kepada orang Melayu sebagai kumpulan tolol yang perlu dipimpin dan dibantu serta dalam masa sama diperguna, diperbodoh untuk kepentingan kelompok UMNO sendiri.

Orang Melayu melihat pemimpin UMNO sebagai pemimpin Melayu, tapi itu dulu, sekarang orang Melayu mencari-cari pemimpin sebenar, sementara belum ada, UMNO jadi sandaran, jika kesedaran di pihak kelompok UMNO masih tiada, tidak mustahil dalam masa terdekat Melayu memandang kearah lain untuk mencari pemimpin. Siapa UMNO tanpa Melayu?…

AlWatan melihat kedudukan Melayu amat genting di bumi sendiri. Fahaman-fahaman tidak menentu diasak masuk dalam pemikiran Melayu dengan label-label liberalism, kesederhanaan, wasatiah, 1Malaysia dan macam-macam. Di kala yang sama orang bukan Melayu memperkukuhkan semangat perkauman mereka tetapi melabelkannya menggunakan label-label yang UMNO/pemerintah sendiri ciptakan. Dengan “1Malaysia” mereka meminta hak sama rata dan mengenepikan hak Melayu walaupun termaktub dalam perlembagaan, dengan “wasatiah” mereka menuntut kelebihan kepada agama-agama mereka sampai menuntut untuk dibolehkan murtad serta hak mereka untuk mendakyahkan agama mereka kepada umat Islam. UMNO diam, terkedu, membisu. Tiada “Jantan” untuk berkata tidak kepada yang tidak dan ya kepada yang ya. Tiada “cerdik” dalam berbahas berhujah, sekadar ugutan kosong penuh dengan amaran berdegar-degar.

AlWatan ingin melihat ada UMNO yang berkata asal Malaysia terdiri daripada negeri-negeri Melayu di semenanjung dan dua negeri kepulauan borneo yang digabung menjadi persekutuan Malaysia. Negeri-negeri Melayu itu adalah negeri Islam berdaulat. Fahami istilah negara persekutuan.

AlWAtan ingin melihat UMNO yang tegak mempertahankan Islam yang benar, dari musuh kafir atau anasir dalaman yang melihat Islam dari sudut sempit yang melemahkan Islam. Mengembalikan ihsan dalam ketegasan, berdakwah dan memyampaikan bukan bersifat permusuhan dan menekan. Kita gagal memperlihatkan syhumul Islam kepada mereka yang kafir, menolak mereka lebih jauh bukan merapatkan mereka kepada Islam. Dalam kita mempertahankan azan dilaungkan, patutkah ceramah agama didalam masjid dikuatkan sama seperti laungan azan?…

AlWatan ingin mendengar UMNO berkata “kita” dan bukan “rakyat” atau “Melayu” atau “bumiputera” apabila berbicara tentang Melayu. UMNO yang berani mengangkat dan memartabatkan bahasa dan budaya Melayu tanpa malu dan takut. Bukan yang bertutur bahasa asing di buminya sendiri dan bermegah dengan pencemaran bahasa dan budayanya. Bukan mereka yang dengan suka tanpa rasa bersalah mencedok perkataan asing dalam ucapan rasmi apatah lagi membiarkan bahasa kebangsaan dipinggirkan dalam setiap cabang penyiaran.

AlWatan ingin melihat UMNO yang mendahulukan Melayu dari UMNO, yang adil dalam mengagih hak bukan yang mengambil kesempatan dari hak Melayu untuk segelintir UMNO. Hak-hak Melayu yang masih ada mesti dipertahankan, tanah rezab Melayu, keistimewaan jawatan pentadbiran kerajaan, keistimewaan pendidikan, keistimewaan agihan lesen dan permit perniagaan mesti dipertahankan. Akta 15, 152, dan 153 perlu kekal.

Inilah harapan yang ingin disampaikan, agar dapat dipertimbangkan UMNO kerana dalam masa yang sama orang Melayu dilihat sedang buat pertimbangan.

Kenaikan harga barang, mungkinkah ini silapnya?

1.   Ya, kerajaan telah dan akan menaikkan harga berberapa perkhidmatan dan barangan yang dikawal harganya.

2.   Bukan semua perkhidmatan dan barangan dikawal kerajaan.

3.   Memang benar kenaikan harga kawalan boleh menyebabkan  kesan rantaian kepada kos pembuatan barangan dan penyediaan perkhidmatan.

4.   Adakah kadar kenaikan disebabkan kesan rantaian ini berpadanan?

5.   Salah satu peningkatan kos yang berlaku adalah pelaksanaan gaji minima.

6.   Harga upah meningkat dan kesan anjakan gaji ini merentasi keseluruhan tangga gaji sesebuah perniagaan.

7.   Peniaga yang meletakkan harga juga mahukan kenaikan pada keuntungan mereka lalu jalan paling mudah adalah menaikkan harga.

8.   Terdapat unsur monopoli dan “cartel” dalam kebanyakkan perniagaan di negara ini.

9.   Ia berkuasa menghalang berlakunya pasaran bebas.

10. Persaingan perniagaan yang sihat tidak pernah dan boleh berlaku dalam keadaan sekarang.

10. Kenapa kerajaan melaksanakan penetapan gaji minima?

11. Ia berlaku kerana tindakan politik popular.

12. Pembangkang juga menjuarai isu gaji minima malah menetapkan kadar lebih tinggi dari apa yang dilaksanakan sekarang jika mereka berjaya memerintah.

13. Adakah pembangkang akan dapat mengekang kenaikan harga jika mereka memerintah dan melaksanakan skim gaji minima mengikut kadar yang mereka wawarkan?

14. Adakah kerajaan silap apabila memutuskan untuk melaksanakan skim gaji minima?

15. Ya, kerajaan silap kerana terikut-ikut dengan rentak pembangkang dan memilih politik popular untuk memenangi hati rakyat tanpa memikirkan kesan terhadap rakyat kemudiannya.

16. Kerajaan sepatutnya membasmi kegiatan monopoli dan “cartel” dalam perniagaan sebelum penetapan gaji minima ini dilaksanakan.

17. Tunjuk perasaan menuntut kerajaan menghalang kenaikan harga tidak akan menghasilkan apa-apa kecuali bermotif politik untuk menjatuhkan kerajaan yang memerintah kerana kerajaan bukan penentu kepada semua harga barangan dan perkhidmatan.

18. Tunjuk perasaan dan desaklah kerajaan bertindak hapuskan monopoli dan “cartel” yang mencengkam pengguna serta telus dan berhemat dalam perbelanjaan negara sebelum pelarasan gaji minima dan kenaikan harga kawalan dilaksanakan. 

Kisah sebuah pelayaran

Kemudi tak patah, bahtera hilang arah…kelasi kata nakhoda yang salah, nakhoda kata angin bertukar arah…

Geladak dah kosong tikus kekenyangan, kelasi mendongak menadah hujan…

Bahtera hanyut belum karam, nakhoda asyik merenung bintang, terumbu di depan disangka awan, jerung tersenyum disangka kawan…

Sauh besar tak cukup panjang, gah di luan dasar tak kesampaian…

Siri 2 : Transformasi inklusif atau esklusif?

     Transformasi Melayu adalah bagi menjamin kelangsungan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air bukan kelangsungan mana-mana parti siasah yang kononnya memperjuangkan agama bangsa dan negara. Parti siasah adalah alat kearah perjuangan tersebut. Jika halatuju mana-mana parti siasah itu diatas landasan yang sama, maka parti tersebut patut disokong tetapi jika halatuju, tindakan dan transformasi yang hendak dilakukan akan merugikan agama, bangsa dan negara maka ianya wajib ditentang. Dimana UMNO sekarang, selepas PRU13 dan PAU yang lepas? 

Adakah UMNO cukup inklusif ( mengambil kira keseluruhan) seperti yang digembar-gemburkan oleh pemimpin tertingginya atau semakin esklusif (menghadkan penglibatan) orang Melayu?

Adakah penentuan calon semasa PRU13 dan pemilihan pemimpin-pemimpin dalam PAU itu bersifat inklusif atau esklusif dari konteks hasrat orang Melayu? Sudah tentu pemilihan dilakukan oleh semua ahli UMNO. Adakah ahli UMNO menimbang kecenderungan orang Melayu semasa memilih pemimpin mereka?

Adakah tindakan-tindakan pemerintah BN/UMNO sekarang mengambilkira perasaan dan kehendak orang Melayu? Ini semua perkara yang perlu dipertimbangkan untuk kenalpasti keadaan semasa sebelum merancang tindakan perubahan.

Dalam keadaan sekarang, tindakan yang paling sesuai adalah menilai sesuatu perkara atas dasar kepentingan kepada agama Islam bangsa Melayu dan negara tanpa mengira ianya didokong atau diperjuangkan oleh mana-mana kumpulan, NGO atau parti siasah. Jika tindakan sebegini dapat dilakukan secara bersepadu maka parti-parti siasah, samada pemerintah atau pembangkang akan menimbang tindakan mereka bagi menarik sokongan orang Melayu. Parti-parti siasah akan disedarkan yang orang Melayu menyokong tidak berdasarkan parti tetapi berdasarkan isu yang dibangkitkan.

Menyokong atau menentang mana-mana parti siasah dalam apa-apa isu semasa tidak bermakna akan tetap menyokong atau menentang parti tersebut sewaktu pilihanraya. Keadaan ini akan mengujudkan satu kelompok Melayu yang lebih bebas dalam menentukan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air terus dipertahankan.

Inilah tranformasi Melayu bagi menangani momokan inklusif dan esklusif oleh parti-parti siasah yang ada.

Sebagai parti yang memerintah, BN/UMNO tidak boleh lagi melakukan sesuatu yang merugikan orang Melayu dan mengharap orang Melayu menyokongnya tanpa soal dan bangkangan.

Kesimpulannya, menyokong dan menentang sesuatu isu hendaklah berdasarkan kepentingan bukan kerana kumpulan atau parti siasah yang membawa isu tersebut. Apakah transformasi pertama ini boleh berlaku?

Selanjutnya,..Transformasi dalam menilai tindakan dan kepimpinan,..Siri 3.

Transformasi UMNO dan transformasi Melayu.

Orang Melayu perlu sedar yang UMNO sekarang melalui proses transformasi. Transformasi bermakna satu proses perubahan yang mendalam dan bersungguh bagi merubah dasar dan halatuju dengan harapan kepada satu tahap keberkesanan yang berbeza.

Selepas sedar yang transformasi dalam UMNO itu sebenarnya sedang berlaku, Melayu juga perlu sedar bentuk transformasi itu dan matlamat yang hendak dicapai. Apabila pemahaman yang jelas melalui pemerhatian dan pertimbangan waras diperolehi, Melayu berhak memilih samada bersama UMNO mendokong transformasi tersebut atau menolaknya.

Bagaimana memahami transformasi tersebut? Melayu perlu melihat kepada tindakan bukan kata-kata. Tindakan pemimpin-pemimpin UMNO dan pihak-pihak yang memperolehi kuasa dari UMNO.

Nilaikan dasar-dasar yang dibuat, perjalanan PRU 13, dan PAU 2013 adalah petunjuk-petunjuk jelas. Seterusnya bagaimana UMNO sebagai peneraju kerajaan menangani isu-isu semasa, pengawalan terhadap GLC-GLC, ketegasan mempertahankan agama Islam, kesungguhan memartabatkan ekonomi, budaya dan bahasa Melayu dan melindungi maruah negara berdaulat. Sekali lagi jangan dengar ucapan, kata-kata, kertas kerja, perancangan atau lain-lain retorik. Nilaikan pelaksanaan dalam bentuk tindakan yang diambil dan keberkesanannya.

Menerimanya mudah, terus berikan sokongan. Penolakan pula boleh berlaku dalam dua bentuk. Pertama menentang transformasi tersebut dari berlaku dalam UMNO. Ini hanya boleh dilakukan oleh ahli-ahli UMNO. Melayu luar UMNO tidak berupaya melakukannya. Penolakan bentuk kedua adalah dengan menolak UMNO. Ini bermakna Melayu bukan ahli UMNO tidak lagi menyokong UMNO dan Melayu dalam UMNO keluar dari UMNO. Tidak menyokong UMNO tidak bererti menyokong parti lain. Perkara ini perlu jelas. Jangan terpedaya dengan momokan parti-parti politik.

Seorang Melayu boleh untuk tidak menyokong mana-mana parti. Melayu sebegini tetap berhak mengundi sewaktu pilihanraya. Ada parti politik yang mempunyai tidak begitu ramai ahli tetapi mendapat undi yang banyak semasa pilihanraya dan ada parti yang kononnya gah dengan bilangan ahli yang ramai tetapi apabila dianalisa peti-peti undi didapati ada berlaku ahli sendiri tidak undi parti berkenaan. Sekali lagi Melayu kena sedar kenyataan ini. BN adalah sebuah parti politik gabungan. Adakah semua ahli parti-parti gabungan tersebut mengundi BN dalam PRU13 yang lalu?

Jadi, bagaimana perlu bertindak sekarang dan bagaimana untuk mengundi sewaktu PRK atau PRU nanti?

..bersambung..siri 2

Conggak Politik UMNO semasa PAU

     Jika MM mampu menang dia tiada pilihan selain team up dengan MY kerana NR dah team-up dgn KJ dan SJ. Sekarang NR akan pastikan MM kalah kerana dia tahu dia akan ada masalah jika MM menang dan team-up dgn MY.
JikaJika MM mampu menang dia tiada pilihan selain team up dengan MY kerana NR dah team-up dgn KJ dan SJ. Sekarang NR akan pastikan MM kalah kerana dia tahu dia akan ada masalah jika MM menang dan team-up dgn MY.

     Jika MM menang, lagi dua NP ada bargaining power,kalau duit jadi pertimbangan, masuk team NR, tapi kalau perjuangan diutamakan, masuk team MY. Kalau team MY kuat, NR perlu di cantas sebelum PRU 14 untuk pastikan UMNO/Melayu kekal berkuasa.

     Jika NR gagal dicantas, KJ dan SJ akan bermaharajalela ditambah pula kalau HH juga menang, Melayu akan marah dan kuburkan UMNO kerana menjelang PRU14 akan muncul parti baru membawa panji-panji alif, ba, ta.

     Para perwakilan buatlah pilihan, kemenangan SJ dan KJ telah membusukkan UMNO, halangan senyap NR, SJ dan KJ terhadap MM telah membenih kebencian Melayu terhadap UMNO.

     Pilih, jangan tak pilih, kemudian mendabik dadalah kepada semua bahawa UMNO parti paling kuat yang tak perlukan orang Melayu luar.

     Sesungguhnya kebencian aku kepada UMNO dah semakin meluap….

Setelah KJ menang.

     Mengetahui keputusan pemilihan untuk ketua pemuda dan wanita UMNO cukup memberi kesan mendalam dalam diri aku. Tiada lagi UMNO yang dulu. Jadi tidak perlu ada UMNO sekarang di hati aku lagi.  

     UMNO yang berbangga ada 3.5 juta ahli sudah kekurang seorang ahlinya. Sudah tentu ia bukan masalah buat UMNO.

     UMNO sekarang adalah yang berada di tengah tidak lagi berhaluan kanan, UMNO sekarang progresif, ini kata ketua pemudanya selepas menang. Dia akan terus memacu UMNO kearah itu dengan sokongan bala tenteranya. Golongan konservatif telah tiada, 0. Dia dipilih oleh setiap bahagian. Melayu mudah lupa, mereka yang memilihnya adalah orang yang sama yang berteriak “rasuah” dan “booo”, dialah yang didapati bersalah “politik wang” pada tahun 2009. Bukan lama, baru 4 tahun. Dalam masa 4 tahun itu apa perubahan drastik dan “taubat” si Ketua Pemuda lakukan untuk agama, bangsa dan tanahair hingga dia diterima sepenuh hati kali ini? Bukan menafikan kemenangannya yang dijangka itu tetapi kemenangan besar tanpa saingan itu amat mengecewakan. Ia mengambarkan akal budi pemuda yang bakal mewarisi kepimpinan UMNO satu hari nanti

     UMNO cuma wadah siasah orang Melayu pertahankan agama, bangsa dan tanahairnya. Pada aku UMNO konservatif pada perjuanganya. Jadi jika UMNO hendak di progresifkan, tambahan pula dengan kecenderungan liberalnya, maka ia bukan lagi UMNO asal.

     Aku berharap akan ada wadah baru bagi aku yang konservatif dalam mempertahan agama, bangsa dan tanahair bersama mereka yang sealiran dengan aku untuk bersama meneruskan perjuangan ini. Ia perlu disegerakan seawal mungkin sebelum PRU14. Jika terlewat, kita mungkin hilang ketiga-tiganya.

     Yang tinggal adalah UMNO progresif dan liberal yang mendukung 1Malaysia tanpa Islam Melayu dan tanah Melayu lagi.

 

Melayu dan UMNO sempena PAU

 

     UMNO dikatakan mempunyai 3.4 juta ahli dan penduduk Melayu berumur 20 tahun keatas adalah seramai 8.5 juta setakat 2011 mengikut maklumat Jabatan Perangkaan. Dari 3.4 juta ahli, berapa ramai telah tidak ambil peduli dan berapa ramai telah beralih arah?. Andaikan semua masih kekal dan tegar menyokong UMNO ada lagi 5.1 juta Melayu dewasa yang tidak berada dalam kelompok UMNO. Semua Melayu perlu semak perangkaan ini, kemudian terima hakikat tersebut. Melayu dalam UMNO perlu ingat, dari pemimpin tertinggi hinggalah ke ahli biasa di cawangan-cawangan. Orang Melayu yang bukan ahli UMNO pun perlu ingat anda bukan keseorangan dan anda bukan minoriti. Majoriti Melayu bukan ahli UMNO. Ada nampak apa-apa dekat situ?

     Sekarang musim persidangan UMNO tetapi kali ini bukan seperti persidangan-persidangan dulu-dulu. Ada perubahan dari segi peraturan pemilihan, itu teknikal. Ada perubahan dari sudut kekecewaan orang Melayu, ini kritikal.

     Rata-rata Melayu tidak boleh tunggu hingga PRU14 tiba. Mereka mahu lihat sesuatu perubahan berlaku dan ketikanya adalah sewaktu pemilihan pemimpin-pemimpin yang akan menerajui UMNO.

     Pemerhatian akan dibuat secara individu dan secara kolektif. Setiap individu yang dipilih akan dinilai semangat juang membela agama, bangsa dan negaranya. Secara kolektifnya pula, pasukan kepimpinan yang dipilih dapatkah menyemarakkan semula kemelayuan dalam UMNO. Jika terdapat satu dua pemimpin yang menyerlah dalam saf kepimpinan tetapi secara kolektif pasukan itu lemah dan tidak boleh diharap maka 3.4 juta UMNO perlu bersedia menghadapi 5.1 juta Melayu. Jangan kata anda tidak diberitahu.

     Melayu sudah sedar, untuk sekian kalinya, walaupun marahkan UMNO kerana gagal berfungsi membela bangsanya, Melayu tetap memilih UMNO. Ini kerana tidak ada pilihan lain dan ini juga alasan UMNO kepada Melayu di malam akhir kempen pilihanraya. Melayu tidak boleh terus diperbodohkan dengan alasan sebegitu lagi. Melayu akan buat persedian awal, ianya tak akan berulang.

     UMNO tentu hendak tahu apa persediaannya. Ianya telahpun dimulakan. Melayu dah mula mengenali pemimpin-pemimpin NGO Melayu dan Islam yang bersemangat dan berdaya juang tinggi bagi membela dan mempertahankan agama, bangsa dan negara. Melayu juga sudah mengenali pemimpin-pemimpin UMNO yang rosak dan merosakkan agama dan bangsanya sendiri kerana sedikit habuan dan kepentingan diri.

     UMNO sudah ada pengganti. Sampai ke satu tahap penilaian, apalah yang terbaik sangat pemimpin UMNO berbanding dengan pemimpin NGO yang dikatakan tak ketahuan punca kerana UMNO juga dah tenggelam punca. Bagaimana dengan kepimpinan JATI, PPIM, PERKASA dan persatuan-persatuan Melayu yang Islam lain? Bagaimana dengan individu-individu yang bergerak sendiri memperjuangkan agama dan bangsanya? Tidak cukupkah bakat kepimpinan yang ada bagi mengantikan keseluruhan barisan kepimpinan UMNO dengan kepimpinan baru?

     Kesimpulannya, 3.4 juta UMNO perlu memilih dengan bijak. Yang mana patut berundur, berundurlah. Yang menawarkan diri, bersedialah untuk menerima keputusan dan yang paling penting adalah yang diberi hak memilih, buatlah pilihan bijak kerana selepas itu 5.1 juta Melayu akan pilih UMNO atau penggantinya bagi meneruskan wadah perjuangan agama bangsa dan negaranya. 5 lawan 3 agaknya yang mana akan menang, Selamat bersidang.

DS Najib – Perlu ditegur atau ditukar.

PRU13 telah berlalu, keputusannya telah diketahui, pelbagai kesimpulan dibuat terhadap keputusan tersebut. Al Watan mempunyai beberapa pandangan tersendiri, namum hak menilai dan berbeza pandangan sentiasa dihormati.

1)      DS Najib jangan lagi mengumumkan pemberian peruntukan seperti menabur harta sendiri. Lulus sana, lulus sini, tambah sana, tambah sini seperti tidak ada perancangan. Jangan buat rakyat terpaksa dengar ceramah oleh pemimpin politik sebelum terima peruntukan, ianya menguris hati, biarkan kakitangan dari kementerian bertanggungjawab sahaja yang melakukanya. Perkara baik dilaksanakan dengan cara salah tidak boleh memberi keuntungan politik.

2)      DS Najib tidak harus lagi menonjolkan diri secara berlebihan kerana dilihat seolah “one man show”, tiada “team-work” bersama kabinet menterinya.

3)      DS Najib perlu dilihat mampu memimpin jemaah menterinya, jangan biarkan mereka perpandangan sendiri yang dilihat tidak sealiran dan berani mengambil tindakan kepada yang kerap membuat kesilapan. Kisah Datuk Saifuddin Abdullah menangani kerenah pelajar perlu diteliti.

4)      DS Najib perlu menyusun semua UMNO dengan berani menolak mereka yang bermasalah. Kerenah ketua-ketua bahagian dan cawangan perlu dikawal dan diganti jika perlu. Bukan lagi beraja di mata bersultan di hati. UMNO terlalu elit dan eksklusif. Pengundi bukan semuanya ahli UMNO. Mereka melihat dengan penuh benci kelakuan warlord-warlord UMNO dan diterjemahkan kedalam kertas undi secara borong keatas UMNO.

5)      DS Najib perlu mampu memimpin BN sebagai satu pasukan yang senada. Perbezaan pandangan perlu dirundingkan dulu dan bukannya diwar-warkan secara terbuka. Pandangan MCA terhadap HUDUD dan MIC dalam isu masyarakat India adalah satu contoh.

6)      DS Najib tidak harus membiarkan DS Rosmah mengambil peranan sebagai menteri tadika. Kita telah ada Kementerian Pendidikan untuk menguruskan perkara itu. Kurangkan penglibatan dalam pentadbiran, boleh bertanya kepada Tun Hasmah bagaimana berperanan sebagai isteri PM.

7)      DS Najib tidak harus membawa anak lelakinya kekancah politik dengan membawanya ke radio dan turun berkempen. Menjual kebolehan anaknya berbahasa Mandarin bukan tindakan bijak.

8)      DS Najib tidak boleh dilihat terlalu “accommodative” kepada semua pihak bagaikan cuba untuk “play safe” dan “good guy” dalam semua keadaan. Ianya menampakan kelemahan dalam berpegang kepada prinsip.

9)      DS Najib harus terus bersungguh-sungguh mengamalkan “rule of law” walaupun kepada sekecil-kecil perkara. Menurunkan poster-poster tidak berlesen adalah satu pengajaran. Hormati sekecil-kecil undang-undang yang ada.

10)  DS Najib harus berusaha menangani fitnah kerana ianya merosak sama seperti rasuah. Membiarkan fitnah tanpa ditangani seperti mengiakannya. Tindakan undang-undang perlu diambil dengan adil, tegas dan segera. Tambahkan mahkamah untuk mendengar kes-kes fitnah seperti mahkamah-mahkamah rasuah.

11)  DS Najib perlu sentiasa berpegang kepada perlembagaan dan teras negara iaitu agama, bahasa dan budaya kebangsaan. Terlalu mengagungkan bahasa Inggeris menampakkan kurang keperihatinan terhadap teras, contohnya  nama-nama seperti RTC, UTC dan lain lain.

Dalam masa yang sama konsep 1Malaysia dengan usaha GTP dan ETP harus diteruskan. Ia nya satu perancangan yang baik dan teratur. Sedikit sebanyak ketidakcapaian perlu diperjelaskan dan usaha penambahbaikan dilakukan.Yang penting ianya perlu diperjelaskan secara telus dan jujur. Rakyat menghormati kesungguhan dan ketulusan.

Akhir sekali persoalan DS Najib perlu ditegur atau ditukar? Terpulang kepada DS Najib sendiri untuk mengambil teguran-teguran yang diberi oleh rakyat dan menanganinya atau terus mencabar rakyat untuk mengambil langkah kedua. Ini kali tidak berlaku tapi lain kali belum tentu.  — Al Watan.

PR menang Kit Siang Menteri Dalam Negeri kata Karpal.

Karpal Singh telah membuat satu pengumuman di Pulau Pinang malam semalam bahawa jika Pakatan Rakyat Menang, Anwar akan jadi Perdana Menteri dan akan ada dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Hadi Awang dan Lim Kit Siang. Lim Kit Siang juga akan memegang jawatan Menteri Dalam Negeri. Sila rujuk portal berita pro-pembangkang “Malaysian Insider”.

Jika ini benar-benar terjadi, apa tindakan Lim Kit Siang seterusnya?

 AlWatan menjangkakan :

1)      Perkara 153 perlembagaan berkaitan hak istimewa orang Melayu dikaji semula.

2)      Pensempadanan semula kawasan pilihanraya akan dibuat bagi membanyakkan kerusi parlimen dikawasan bandar yang sememangnya menjadi kubu kuat mereka.

3)      Petronas akan distruktur semula memastikan ianya dikawal sepenuhnya oleh mereka.

4)      Agensi-agensi yang membantu meningkatkan ekonomi bumiputra akan di bubarkan. MARA, PNB, dan lain-lain tinggal sejarah.

5)      Struktur perkhidmatan awam dirombak semula, jawatan-jawatan penting setiap kementerian akan diisi dengan pengikut setia mereka.

6)      Sistem pendidikan akan diubah kearah sekular sepenuhnya.

7)      Tanah-tanah resab Melayu akan diambil untuk pembangunan kerajaan menyebabkan pemilikannya akan berkurangan.

8)      Pentadbiran agama Islam akan diambilalih oleh mereka yang berfahaman liberal.

9)      Agama-agama lain akan diletakkan sebaris dengan agama Islam.

10)  Bahasa kebangsaan akan ditambah menjadi empat iaitu Melayu, Mendarin, Tamil dan Inggeris.

11)  Budaya Melayu bukan lagi teras, pakaian Melayu bukan lagi pakaian rasmi negara.

12)  Akhir sekali, rancangan jangka panjang mereka mengubah negara menjadi sebuah Repablik Sekular akan terlaksana.

Semoga Allah melindungi bumi Tanah Melayu dan Borneo dengan membukakan hati para pengundi untuk mengundi dengan penuh kesedaran akan akibat dimasa hadapan.

Kepada penyokong BN pertingkatkan usaha menyebarkan kesedaran kepada pengundi-pengundi lain. Kepada mereka yang belum membuat keputusan siapa yang hendak dipilih, fikirkanlah sedalam-dalamnya untuk PRU13 ini, dalam keadaan sekarang ini bukan masa untuk cuba-cuba, sekali terlepas pasti tidak akan dapat dikembalikan lagi. Kepada penyokong PAS, pertimbangkan juga dengan hati yang lapang dan tenang, menang sorak kampong tergadai, kerana nyamuk kelambu dibakar, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran, , telunjuk lurus kelingking berkait, bagai melepas anjing tersepit disangka menjilat, mengigit pula, sesal kemudian tidak berguna…Semoga kita semua dilindungi Allah hendaknya.