Tun dan Sikap

… seperti jawapan di ruangan komen kepada tulisan Tun bertajuk Sikap di chedet.com…

Assalamualaikum Tun,

Orang Melayu TIDAK rela menerima pemimpin yang telah curi berbillion duit Kerajaan. Namun, cuma kerana tidak menyokong Tun dan PH lalu dituduh menyokong pemimpin yang rasuah dan salah guna kuasa adalah tuduhan yang angkuh.

Apakah Tun, Anwar, PH, PKR, DAP terlalu mulia dan bersih? duduklah beramai-ramai di hadapan cermin dan anda akan melihat jawapannya.

Ramai menolak BN semasa PRU14 bukan kerana Tun atau Anwar atau DAP atau PH, tetapi kami mengundi menolak pemimpin dan parti korup, angkuh dan salahguna kuasa.

Dengan harapan agar pengganti menjadi lebih bersih dan baik, 22 bulan menyaksikan pemerintahan yang bukan bertambah baik tetapi lebih buruk. Angkuh juga satu sikap yang dibenci.

Yang lebih merisaukan, keadaan negara menjadi lebih terancam dengan isu-isu agama, perkauman, dan perlembagaan negara

Tun bertanya tentang perjuangan untuk selamatkan orang Melayu dari pemimpin kleptokrat jadi apa? Sekarang saya bertanya, apakah ditangan Tun dan DAP Melayu selamat?

Seperti kami tidak mahukan pemimpin kleptokrat, kami juga tidak mahukan pemimpin dan kerajaan yang bersikap anti Melayu, mencabar perlembagaan dan hak Melayu/bumiputera serta merampas kekayaan tanahair untuk kaum dan kroni mereka sahaja. Melayu akan papa kedana dan merempat.

Benarkah Bersatu ditubuhkan untuk menyelamatkan Melayu? Mesyuarat cawangan Bersatu sama macam UMNO malah lebih buruk. Tak ada apa yang Melayu boleh banggakan tentang Bersatu. Kami tak kisah dan peduli pun Bersatu hancur, yang penting agama Islam, bangsa dan budaya Melayu tidak hancur di bumi Melayu.

Ada pemimpin yang terus berdedam kesumat, berpatah arang, gilakan kuasa, tamak haloba walaupun akibatnya bangsa dan negara bakal hancur sengsara.

Hentikanlah perebutan kuasa, politik dendam, kepentingan diri, dan untuk hanya SEKALI, TOLONGLAH fikirkan kepentingan rakyat terlebih dahulu.

Kepada mereka-mereka yang bermasalah, TOLONGLAH undur diri, cukup-cukuplah menyangak duit rakyat, berehat dan nikmatilah duit haram sementara menunggu masa anda diadili. Tak perlulah untuk cuba buat “comeback” yang memburukkan keadaan. Tanpa anda keadaan pasti lebih baik, TOLONGLAH,…