MyFutureJobs bukan untuk kita

Portal MyFutureJobs oleh Perkeso dengan cogankata “Your National Employment Service Provider” hanya dalam bahasa Inggeris. Ya, dari cogankata hinggalah ke isinya dalam bahasa Inggeris, “National” nya dimana?

Para majikan diwajibkan mengiklankan kekosongan jawatan di portal ini untuk membolehkan syarikat memohon “Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan” oleh Penjana, salah satu usaha kerajaan menangani Covid-19.

Bantuan yang diberikan adalah dari RM600 hingga RM1000 sebulan selama 6 bulan untuk setiap pekerja. Iaitu RM3600 hingga RM6000 untuk setiap pekerja secara keseluruhan.

Portal ini juga perlu digunakan untuk para penganggur dan yang diberhentikan kerja untuk memohon pekerjaan.

Malangnya dan amat mengecewakan apabila didapati portal ini tidak menggunakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, semuanya dalam bahasa Inggeris.

Kesannya, majikan perniagaan mikro dan kecil terutamanya yang tidak mahir bahasa Inggeris merasa takut untuk mengisi maklumat dalam portal ini kerana curiga tersalah isi yang kemudiannya boleh menimbulkan masalah lain.

Perkeso ada menyediakan Key Account Manager kepada majikan untuk membantu tetapi ianya lebih menyusahkan kerana majikan perlu berhubung pula dengan pegawai tersebut yang bukannya berada dikawasan majikan itu.

Para pencari kerja yang terdiri dari mereka yang diberhentikan dan lepasan sekolah tidak mampu menggunakan portal ini kerana sudahlah dalam bahasa Inggeris, borang maklumat yang perlu diisi sukar difahami.

Ia menggunakan borang online yang perlu disi secara terbuka, terpilih atau semakan. Ada juga yang cuba mengisi dan hasilnya para majikan menemukan perkara-perkara karut-marut dalam borang permohonan mereka. Dapatan ini adalah hasil dari semakan saya sendiri terhadap “resume” yang diterima.

Perkeso perlu bertindak SEGERA membetulkan perkara ini. Sebagai agensi kerajaan, kenapa bahasa Kebangsaan tidak diutamakan?. Sedangkan penggunaannya ternyata hanya untuk rakyat Malaysia.

Satu dari tiga teras Penjana adalah “Memperkasakan Rakyat”. Dimana pemperkasaan itu jika bahasa rakyatnya pun tidak diambil peduli?

Inisiatif Penjana yang kedua dari 40 “Inisiatif Asas” adalah “Menaik Taraf Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara”. Adakah dengan menggunakan bahasa Inggeris maka taraf portal ini berada dikedudukan tinggi berbanding penggunaan bahasa kebangsaan?

Ramai pencari kerja adalah mereka yang kurang berkemahiran termasuk kemahiran berbahasa Inggeris. Begitu juga dengan kerja buruh/am atau separuh mahir tidak memerlukan keupayaan berbahasa Inggeris yang baik. Mereka ini juga kebanyakkannya dari luarbandar yang sangat sedikit pendedahannya kepada bahasa Inggeris secara harian.

Ramai majikan yang terjejas adalah dari kumpulan usahawan kecil dan mikro yang setengahnya tidak ada pun kerani untuk melayari internet. Mereka ini tidak fasih berbahasa Inggeris. Mereka juga tiada banyak masa terluang. Peraturan yang merumitkan dan melecehkan sebegini mengecewakan mereka dan menyebabkan mereka tidak menyertainya.

Perlu juga disedari dan diakui capaian internet dan teknologi digital di kawasan luar bandar adalah tidak sebagus mana. Keupayaan data tidak menentu dan kerap terputus-putus.

Ini berbeza dengan syarikat taraf sederhana dan besar. Mereka ada jabatan khusus yang menguruskan sumber manusia.

Sebenarnya, siapakah sasaran penerima insentif ini?

Perkara sebegini perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang merasakan ianya satu kelemahan pentadbiran dalam melaksanakan dasar kerajaan. Samada disengajakan atau kelalaian, pembetulan perlu dilakukan dan tindakan pencegahan perlu dibuat agar perkara sama tidak berulang.

Sila panjangkan perkara ini kepada pihak-pihak yang berkepentingan untuk tindakan mengikut kesesuaian dan kemampuan.

Tinggalkan komen